Wednesday, October 26, 2011

Pengusaha bas pula 'cekik darah'


KUALA TERENGGANU - Sebilangan pengusaha bas di negeri ini yang turut mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa sekali ganda bagi perkhidmatan membawa penyokong ke Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Jurucakap Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Rahim Wan Salleh berkata, sikap 'cekik darah' itu sangat mengecewakan, tidak sepatutnya timbul malah mereka seharus bersama-sama membantu meramaikan bilangan penyokong di stadium.

Katanya, ia boleh mematikan keghairahan peminat, menghampakan mereka yang turut dibebankan dengan kenaikan melampau harga tiket perlawanan.

Kelab itu memohon campur tangan pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyiasat rungutan berkenaan dan dalam masa yang sama pihaknya merayu kepada pihak pengusaha bas untuk lebih bertimbang rasa.

"Sebelum ini, kadar sewa semasa kira-kira RM2,000 untuk sebuah bas, lepas itu naik kepada RM3,000 dan kini mencecah sehingga RM4,000," ujarnya di sini semalam.

Tambah Wan Mohd. Rahim, walaupun masa sudah singkat, pihaknya masih mengharapkan ada perkembangan positif berkaitan perkara ini.

"Bukan selalu peristiwa ini datang. Kita tidak mahu, perlawanan bola sepak menjadi satu perkara 'mahal' kepada rakyat kerana mereka hanya mahu melihat jaguh mereka bermain dan memberi sokongan," katanya.

Sementara itu katanya, Peteh akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 buah bas untuk membawa rombongan ke perlawanan itu dan akan berusaha untuk mendapatkan kadar sewa bas yang terbaik untuk penyokong.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...