Tuesday, October 11, 2011

Penyokong Harimau bertenang


KUALA LUMPUR - Pengurus bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal meminta semua pihak jangan cepat melatah dan melemparkan kritikan yang tidak munasabah selepas melihat skuad Harimau Malaya dibelasah 5-0 oleh Australia pada perlawanan persahabatan di Stadium Canberra, Jumaat lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, semua pihak perlu 'berpijak di bumi nyata' terhadap mutu sebenar bola sepak negara yang masih jauh ketinggalan dan menyifatkan perubahan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata.

''Sebelum pergi, kita semua tahu jurang antara Australia dan negara kita, terlalu jauh... mereka berada di ranking 19 dunia sedangkan Malaysia, 147 dunia. Jadi keputusan yang kita dapat di sana mungkin sudah boleh diduga kerana Australia memang sebuah pasukan berkelas dunia dan ramai pemain mereka bermain di luar negara.

''Cuma, saya hendak minta kepada semua pihak terutama peminat, sebaik sahaja kita kalah besar, janganlah terus bersikap menghukum kerana ini adalah perlawanan persahabatan yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pemain dan paling penting, kita dapat mengukur sejauh mana tahap bola sepak negara kita di peringkat antarabangsa.

''Tambahan, skuad yang kita bawa ke Australia terdiri daripada ramai muka baru yang diberi peluang kali pertama mewakili Malaysia seperti Joseph Kalang Tie, K. Reuben dan Yong Kuong Yong, jadi saya harap semua pihak faham," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kekalahan itu disifatkan antara yang paling teruk sepanjang pengendalian Datuk K. Rajagobal bersama pasukan Harimau Malaya semenjak tahun 2009.

Walaupun tewas dengan cara memalukan kepada Australia, Subahan berkata, beliau tidak takut untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan berkelas A termasuklah Jepun.

''Kami mesti meneruskan pendedahan sebegini kepada semua pemain, ia bagus untuk jangka masa panjang, saya tidak kisah apa jua keputusan yang berlaku selepas itu.

''Biarpun saya agak hairan dengan sikap segelintir media yang mempersoalkan mengapa kita sanggup bertemu Australia sedangkan tahu mutu persembahan kita jauh berbeza dan mahu hanya mengaturkan perlawanan dengan pasukan-pasukan yang mempunyai kekuatan setara.

''Namun, soalnya sampai bila kita hendak berjumpa dengan pasukan-pasukan seperti Maldives dan Hong Kong dengan hanya bertujuan mendapatkan kemenangan sedangkan ia langsung tidak membantu kita dalam meningkatkan permainan," soalnya.

Subahan juga mengingatkan, misi terdekat mereka selepas tidak lagi menyertai kelayakan Piala Dunia 2014 adalah mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada tahun lalu.

''Misi paling penting kita dalam masa terdekat adalah memenangi Piala Suzuki AFF yang akan diadakan di tempat kita sebelum sasaran utama kita iaitu melayakkan diri ke Sukan Asia 2015.

''Selepas ini, perlawanan persahabatan terdekat yang kami sudah aturkan ialah berdepan India di sana dari 11 hingga 17 November, dua perlawanan persahabatan akan diadakan sepanjang tempoh tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...