Wednesday, October 19, 2011

Uzbekistan ujian paling getir skuad bawah 23


UJIAN paling getir menanti skuad bawah 23 tahun negara apabila bakal berdepan pasukan pilihan kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Uzbekistan dalam perlawanan pembukaan di Stadium Mydinh, Hanoi hari ini.

Uzbekistan yang bakal membariskan skuad Olimpik mereka dianggap sebagai pasukan pilihan kejohanan selain tuan rumah, Vietnam dan Myanmar dalam kejohanan yang membabitkan saingan empat negara ini.

Menurut pengendali negara, Ong Kim Swee, Uzbekistan yang dibimbing jurulatih kebangsaan mereka, Vadim Abramov terbukti hebat apabila menumpaskan Jepun 1-0 dalam aksi persahabatan awal tahun ini serta menang 2-0 ke atas Iraq dalam perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London September lalu.


Biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan pemanas badan sebelum beraksi di Sukan Sea Indonesia bulan depan, Kim Swee menuntut anak buahnya memberikan persembahan terpuji.

“Sebelum ini saya hanya dapat menguji pemain dalam liga tempatan tapi kali ini mereka akan mengharungi tiga perlawanan antarabangsa dalam kejohanan ini. Bagi saya Uzbekistan adalah pasukan pilihan kejohanan dan ini adalah peluang terbaik untuk saya menguji pemain-pemain.

“Menang atau kalah tidak memberi impak kepada pasukan tapi apa yang mustahak pemain-pemain memberi komitmen dan mengikut arahan yang diberikan. Walaupun saya tidak meletakkan sasaran tapi setiap kali beraksi, pemain-pemain perlu berusaha untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Kim Swee menyenaraikan 20 pemain di Hanoi namun tidak dapat membawa 10 pemain utama dengan tiga daripadanya, Mohd Fadhli Shas, Mohd Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih berada di Slovakia bersama kelab Vion Zlate Moravce serta beberapa pemain yang terikat dengan kempen Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...