Wednesday, November 2, 2011

MB minta Irfan fikir sekali lagi


KUALA TERENGGANU - Ketika Irfan Bakti telah memuktamadkan keputusannya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengharapkan jurulatih itu berfikir dua kali sebelum meninggalkan skuad Terengganu.

Ahmad melihat ada kewajarannya Irfan terus bersama bersama Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan jika jurulatih itu mahukan cabaran lebih besar kerana harapan makin tinggi.

Menurut Ahmad, beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan jurulatih berasal dari Kelantan itu untuk mendapatkan kepastian.

Sebelum ini, katanya, beliau dimaklumkan PBSNT ada menawarkan kontrak kepada Irfan Bakti untuk dua musim lagi, namun tidak tahu mengapa jurulatih itu enggan menyambung kontraknya.

''Saya akan berbincang dengan kedua-dua belah pihak mengenai perkara ini dan berharap jurulatih itu terus dapat berkhidmat dengan pasukan Terengganu kerana beliau telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan ini." katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika ditanya pemberita pada majlis perasmian Sukan Rakyat Mega di Kampung Jeram Manir, dekat sini, malam kelmarin.

Apa pun, PBNST telah pun menawarkan tugas yang dikosongkan Irfan itu kepada bekas jurulatih Pos Malaysia, Mat Zan Mat Aris secara lisan.

Tambah Ahmad, beliau tidak bermaksud mahu campur tangan dengan pihak pengurusan PBSNT tetapi khidmat jurulatih yang berusia 60 tahun itu masih diperlukan untuk misi kejuaraan akan datang.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau sepanjang membimbing pasukan Terengganu dan saya berharap beliau akan kekal bersama Terengganu untuk tahun hadapan." ujar Ahmad.

Irfan Bakti yang membimbing pasukan Terengganu selama dua musim sehingga pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia dan turut membantu Terengganu menduduki tangga kedua liga super selain memenangi Piala FA musim ini.

Kelmarin, Irfan mengumumkan keputusannya meninggalkan Terengganu, suatu langkah yang dianggap terbaik baginya dan pengurusan PBSNT.

Ketika mengumumkannya Irfan kelihatan sugul namun menafikan keputusannya itu kemungkinan berkait dengan situasi tidak menyenangkan baginya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...