Thursday, December 22, 2011

Import janji julang pasukan





SHAH ALAM - Pengalaman beraksi di Eropah akan digunakan sebaik mungkin oleh dua pemain import PKNS FC dari Perancis, Helmi Loussaief dan Dawood Nicoise pada Liga Super 2012 yang akan membuka tirai Januari depan.


Kedua-dua pemain tersebut bakal memperkuatkan bahagian serangan dan tengah PKNS FC yang berjaya menempah tempat beraksi dalam Liga Super 2012 selepas muncul juara Liga Perdana 2011.


Menurut Helmi, dia sangat gembira dapat menambat hati pengurusan PKNS FC dan terharu dengan layanan yang diberikan oleh rakan sepasukannya serta akan berusaha menyesuaikan diri dari masa ke semasa.


"Pengalaman beraksi di Eropah akan digunakan untuk membantu pasukan ini, kerana saya pernah beraksi di dalam Liga Perancis bersam AS Monaco serta beberapa lagi liga lain di Hungary dan Itali.


"Bagaimanapun sebagai seorang pemain beragama Islam saya lebih gembira dapat berada di sini," katanya ketika ditemui media semalam.


Jelasnya, tidak ada bezanya beraksi di Eropah dan di Malaysia cuma di sini pemain lebih menghormati antara satu sama lain dan ia amat diperlukan dalam sesebuah pasukan bagi mencatat keputusan yang cemerlang.


"PKNS FC adalah sebuah pasukan yang bagus, kami boleh bekerjasama dengan baik kerana tidak timbul masalah komunikasi di sini," kata berusia 25 tahun dan mempunyai darah Tunisia itu.


Sementara itu, Dawood Nicoise yang baru sahaja memeluk Islam gembira dapat beraksi di Malaysia selepas dua bulan berada di sini dengan berazam membantu PKNS FC beraksi cemerlang di Liga Super 2012.


Pemain berusia 27 tahun yang memiliki darah Guadeloupe itu, mengakui bahawa pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim mempunyai pemain yang berkualiti baik pemain senior mahupun pemain muda yang sedang meningkat.


Selain beraksi bersama FC Brussels di Belgium, Dawood juga pernah beraksi bersama kelab Turki, Genclerbirligi, Mouscron (Belgium), Neuchatel Xamax (Switzerland), Ethnikos Achna (Cyprus), RFC Tournai (Belgium) dan Al-Masry (Mesir).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...