Friday, December 16, 2011

Lion XII FC ‘kebal’


TERCOROT pun tetap kekal dalam saingan Liga Super.Demikian ‘kekebalan’ pasukan negara jiran, Lion XII FC dari Singapura yang tetap kekal beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2013 meskipun menduduki tangga tercorot liga yang membabitkan 14 pasukan itu pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2012.
Keistimewaan itu tidak dimiliki mana-mana baki pasukan lain kerana dalam liga walaupun menamatkan aksi di tangga ke-13 Liga Super di depan Lion XII FC sekalipun, mereka bakal ‘terhumban’ ke Liga Perdana bagi musim 2013.
Malah, lain pula ceritanya dengan Harimau Muda B yang terpaksa melupakan aksi Liga Super 2013 walaupun skuad kendalian Ismail Ibrahim itu berjaya muncul juara Liga Perdana pada musim depan, tetapi mereka tetap bersaing dalam Liga Perdana. Penyertaan mereka hanyalah sebagai pendedahan.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin begitupun tidak mahu perkara itu disensasikan mana-mana pihak memandangkan penampilan pasukan negara jiran dalam saingan Liga Super itu sudah termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum ini.
“Selain tidak dibenarkan menggunakan khidmat pemain import seperti mana pasukan lain, pasukan Lion XII FC juga hanya akan menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM750,000 sekiranya muncul juara Liga Super.
“Mereka juga tidak akan menerima sebarang insentif lain seperti mana pasukan lain dalam saingan musim depan, jadi cukup-cukuplah mensensasikan isu ini,” katanya semalam.
Kehadiran Lion XII FC yang kembali mewarnai saingan bola sepak tempatan selepas 17 tahun lalu, kali ini jelas ‘kurang disenangi’ segelintir pemerhati bola sepak tempatan, terutamanya tindakan skuad tersebut menyenaraikan 10 pemain berusia lebih 23 tahun.
Berdasarkan MoU itu, Lion XII FC yang dikendalikan V. Sundramoorthy bakal beraksi dalam saingan Liga M selama empat musim sehingga 2015 sebagai pertukaran dengan skuad Harimau Muda yang akan beraksi dalam Liga Singapura (Liga S) bermula Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Hamidin berkata, hanya 12 pasukan sahaja yang akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super 2013 berbanding 14 pasukan pada musim depan.
Selain Lion XII FC katanya, sembilan pasukan terbaik akan kekal dalam aksi Liga Super sementara dua lagi pasukan diisi oleh juara Liga Perdana serta pemenang perlawanan playoff.
“Untuk perlawanan playoff (Liga Super bagi musim 2013), ia akan membabitkan naib juara Liga Perdana 2012 serta tiga pasukan yang menghuni tangga ke-10, 11 dan 12 Liga Super 2012.
“Sementara pasukan tercorot Liga Super musim depan (selain Lion XII FC) pula akan terus diturunkan ke Liga Perdana bagi musim 2013,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...