Saturday, January 21, 2012

Aksi Tentera tertangguh, MP Muar bangkit

BH Online

HAJAT Tentera meraih kemenangan keempat berturut-turut tertangguh apabila pertemuan Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Selayang, petang semalam terpaksa dibatalkan terus selepas 40 minit permainan berlangsung gara-gara hujan lebat dan ribut petir. 




Sebelum perlawanan terhenti, skuad kendalian B Satianathan sedang mendahului 2-0 hasil jaringan penyerang import, Marlon Alex James pada minit kelapan dan ke-35, namun perlawanan ulangan di gelanggang sama, petang ini akan dimulakan semula dengan jaringan 0-0.
Di Stadium Hang Tuah, Melaka, pasukan pelawat, MP Muar yang tewas dua perlawanan sebelum ini bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas NS Betaria, petang semalam.
Pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi R Puganeswaran sebelum NS Betaria menyamakan kedudukan hasil jaringan Fauzi Kadar pada minit ke-58. Gol kemenangan MP Muar menyusul pada minit ke-72 menerusi pemain import, Hillary Echesa Odada. 

Di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berjaya memungut mata pertama musim ini apabila mengikat USM FC 1-1 pada satu lagi aksi yang berlangsung sebelah petang. 

MBJB mendahului pada minit ke-57 menerusi jaringan Romdhizat Jamian tetapi pelawat berjaya juga menyamakan kedudukan hasil jaringan S Veenod pada minit ke-73. 

Tiga lagi aksi berlangsung malam tadi berkesudahan dengan seri yang mana Perlis dan Pahang mencatat keputusan 2-2 di Stadium Utama Negeri, Kangar; Harimau Muda B dan Johor 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala Polis dan Pos Malaysia, 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...