Monday, January 23, 2012

Bukan salah Khazali seorang - KFA


Khazali Din (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Stadium Darul Aman selepas Kedah kalah kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super, Sabtu lalu.

ALOR SETAR - Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikatakan akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat dan dijangka turut membincangkan kedudukan Datuk Khazali Din sebagai pengurus pasukan Hijau Kuning.

Utusan Malaysia difahamkan perbincangan mengenai kedudukan Khazali adalah bagi mengambil kira pandangan dan desakan segelintir peminat yang mahu beliau berundur ekoran aksi longlai skuad Kenari dalam permulaan Liga Super.

Menurut sumber, sebarang keputusan mengenai kedudukan Khazali akan dibuat secara bersama, dengan mengambil kira pelbagai aspek demi kebaikan semua.

Desakan segelintir penyokong mahu Khazali berundur semakin hebat disuarakan kelmarin akibat aksi longlai skuad Kenari yang bukan saja gagal mencipta kemenangan, malah gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan Liga Super, menyebabkan Kedah menghuni tangga kedua tercorot.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, isu mengenai kedudukan Khazali diserahkan kepada persatuan itu untuk menentukannya dengan memberi jaminan mempertimbangkan pandangan semua pihak.

Beliau bagaimanapun berkata, situasi yang melanda Hijau Kuning tidak boleh diletakkan ke atas bahu Khazali semata-mata.

Beliau turut meminta penyokong Kedah agar tidak panik dengan prestasi skuad Kenari kerana KFA akan melakukan segala yang terbaik bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Tindakan itu, katanya termasuk menggantikan pemain import jika perlu tetapi mesti menerusi prosedur yang ditetapkan.

"Persembahan Kedah sebenarnya menunjukkan peningkatan dan masih ada ruang serta peluang untuk memperbaiki kelemahan memandangkan musim liga masih panjang.

"Saya berharap semua pihak tidak panik dan terus berada di belakang menyokong pasukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...