Monday, January 30, 2012

Butler tuntut aksi terbaik Ghaddar


Muhammad Ghaddar (kanan) masih gagal menambat hati jurulatih Kelantan, Peter Butler walaupun sudah membuat lima penampilan bersama skuad The Red Warriors.

KOTA BHARU - Kegagalan penyerang import Kelantan, Mohammad Ghaddar memanfaatkan banyak peluang terhidang ketika melayan kunjungan Kuala Lumpur kelmarin mengundang keresahan ketua jurulatih The Red Warrios, Peter Butler.




Jurulatih kelahiran Halifax, England itu berkata, beliau tidak berniat menyalahkan pemain tersebut tetapi mahu anak buahnya itu terus fokus dalam perlawanan selepas ini.

Menurutnya, biarpun kecewa dengan prestasi Ghaddar, namun dia tetap optimis penggempur utama Lubnan itu mampu bangkit menjelmakan aksi terbaik, seterusnya membantu Kelantan meraih kejayaan pada musim ini.

"Saya tahu dan selalu cakap padanya orang menilai prestasi penyerang menerusi jaringan yang dihasilkan, nasib belum menyebelahi Ghaddar untuk menjaringkan gol walaupun dia memiliki banyak peluang terbaik.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamer Ghaddar, dia seorang pemain yang bagus dan sentiasa bekerja keras ketika latihan mahupun perlawanan tetapi dia masih perlu menjaringkan gol," katanya.

Begitupun Butler memuji gandingan Ghaddar dan Norshahrul Idlan Tahala yang bertambah baik dan mula menampakkan keserasian.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan meneruskan rentak kemenangan apabila membenam pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-46 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Danny Antwi melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-72 dan 79.

Kemenangan ini memastikan Kelantan kekal meneraju Siri Super dengan mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan, hanya satu mata meninggalkan dua pencabar rapat, Terengganu dan Perak.

Mengulas kemenangan yang dilakar oleh pemainnya kelmarin, Butler memberitahu beliau gembira dengan keputusan tersebut.

"Mereka mempamerkan corak perlawanan yang menarik dan beraksi dengan cemerlang sepanjang perlawanan.

Tiga mata ini cukup penting buat kita untuk terus berusaha ke arah yang lebih baik.

"Bermain di atas padang yang cantik memberikan kelebihan buat kita untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...