Tuesday, January 24, 2012

KFA juga perlu bertanggungjawab



ALOR SETAR - Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah mahu semua pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi pasukan Hijau Kuning pada permulaan Liga Super musim ini.




Presidennya, Nor Hasmadi Hamzah berkata, tidak wajar jika pengurus pasukan, Datuk Khazali Din seorang diri dipersalahkan di atas aksi longlai skuad Kenari yang kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super.

Ini kerana katanya, aspek pengurusan daripada badan induk iaitu KFA mesti diambil kira selain segala keputusan termasuk pemilihan, kesebelasan pemain dalam setiap perlawanan dibuat secara bersama, sama ada secara terus atau di belakang tabir.

"Semua pihak yang membentuk sebuah pasukan dari pengurusan sehingga ke panel jurulatih dan pemain perlu bertanggungjawab. Tidak adil jika apabila kalah, Khazali seorang menanggungnya tetapi bila menang, ramai yang mendapat nama.

"Desakan yang mahu beliau melepaskan jawatan bukan jalan penyelesaian terhadap kemerosotan prestasi pasukan Kedah pada masa ini. Jika ingin membuat rombakan, ia perlu menyeluruh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Khazali berdepan dengan desakan segelintir penyokong yang mahu beliau berundur ekoran aksi longlai skuad Kenari yang bukan sahaja gagal mencipta kemenangan, malah gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan Liga Super.

Menurut Nor Hasmadi, sebagai sukan No. 1 penduduk negeri jelapang padi ini, KFA perlu memandang serius kemerosotan persembahan skuad bola sepak Kedah dengan memainkan peranan yang lebih aktif terhadap pasukan.

Katanya, KFA tidak seharusnya hanya menumpukan kepada aspek pengurusan dan melepaskan tanggungjawab di atas padang sepenuhnya kepada panel jurulatih, kerana semua pihak perlu terlibat secara menyeluruh dan memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

"Kami mendesak supaya Presiden KFA sendiri turun padang bagi memantau secara dekat apa yang berlaku dalam pasukan bola sepak Kedah," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...