Thursday, January 19, 2012

Shakir pikat Kim Swee


Harian Metro

SELEPAS hampir setahun disisihkan, penyerang Ahmad Shakir Ali kembali mendapat perhatian jurulatih Ong Kim Swee apabila pemain skuad Liga Super Negeri Sembilan itu disenaraikan dalam pasukan Olimpik negara bagi menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Bahrain 5 Februari ini.



Dia yang meninggalkan Harimau Muda A untuk bersama negeri kelahirannya, Kedah tahun lalu dilihat m enunjukkan peningkatan sejak menyertai skuad Rusa di bawah kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah musim ini.

Shakir, 22, nyata terkejut apabila dimaklumkan mengenai keputusan Kim Swee itu dan berjanji menggunakan peluang kedua itu sebaik-baiknya untuk mengukuhkan tempat dalam kesebelasan utama skuad negara.


“Saya tak sangka dipanggil semula kerana kali terakhir bermain dengan pasukan Olimpik ketika menentang Pakistan (Mac 2011).

“Sebelum ini saya mengaku gagal beraksi dengan baik dan jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika bermain bersama Kedah. Mungkin atas sebab itu saya tidak dapat bermain dalam skuad Olimpik.


“Peluang kali kedua ini akan saya gunakan untuk membalas kepercayaan jurulatih Ong Kim Swee kepada saya,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.





Aksi Shakir kembali menyerlah musim ini selepas bergandingan dengan pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona di bahagian serangan apabila menyumbat dua gol ketika menewaskan Johor FC 2-0 dalam perlawanan liga, Sabtu lalu.

Selain Shakir, Kim Swee turut memanggil enam pemain bukan dari Harimau Muda A iaitu, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Felda United), Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS), K Gurusamy (Selangor), Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Zubir Azmi (Terengganu) untuk memperkuatkan skuad 25 pemain itu.




Semua pemain akan mula mengadakan latihan pusat pada 25 hingga 31 Januari ini di Wisma FAM Kelana Jaya dan Majlis Sukan Negara Bukit Jalil sebelum bertandang ke Manama bagi perlawanan keempat Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...