Monday, January 23, 2012

Terengganu layak jadi 'abang'


Pemain Terengganu, Reeshafiq Alwi (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain T-Team, Bojan Petric pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Terengganu membuktikan mereka memang layak bergelar 'abang' kepada T-Team apabila memenangi pertembungan sesama pasukan negeri itu 2-1 dalam aksi Liga Super kelmarin.

Kemenangan dalam pertembunganderby itu membolehkan Terengganu memintas T-Team sebagai pendahulu liga.

Pengendali Penyu, Mat Zan Mat Aris memuji corak permainan skuad 'adik', T-Team yang enggan mengalah biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Mat Zan juga mengakui keupayaan anak-anak buah Yunus Alif dari segi taktikal kerana mampu menguasai permainan.

"Pujian harus diberikan kepada T-Team yang mana kita tengok pasukan itu banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol walaupun kurang seorang pemain.

"Situasi sebeginilah yang kita ingin lihat dalam satu-satu permainan iaitu mental pemain lain tidak terjejas walaupun kurang seorang pemain.

"Saya juga memuji permainan barisan pemain-pemain saya yang nyata tidak mempersia-siakan harapan. Apa yang penting kita menang dan berjaya mendapat tiga mata penuh," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, T-Team lebih awal menemui sentuhan jaringan apabila ketua pasukan Zairo Anuar Zailani menyempurnakan penalti setelah Zacharia Simukonda dijatuhkan di dalam kawasan penalti pada minit ke-12.
Tuan rumah, Terengganu melancarkan serangan yang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan, juga menerusi penalti pemain import baru Francis Forkey Doe tujuh minit kemudian.

Penalti berpunca daripada bentesan keras oleh pertahanan pelawat, Shahrizal Faizal ke atas Mohd. Ashaari Samsudin sehingga membuatkan pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah.

Forkey menjadikan kedudukan 2-1 untuk pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-60 dan keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...