Friday, February 17, 2012

Barisan terkuat lawan Blue Samurai



KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee berjanji kepada peminat setia negara yang dia akan menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi Jepun pada saingan kelayakan pusingan akhir Sukan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 Februari ini.

Mahu menghadiahkan sesuatu kepada peminat memandangkan ia merupakan perlawanan terakhir kelayakan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Kim Swee mahu membalas kepercayaan peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Olimpik selama ini.



''Perlawanan dengan Jepun bagi saya tetap mustahak walaupun perlawanan ini mungkin tidak memberi sebarang makna kepada kami lagi.

''Saya masih mahu menurunkan barisan terkuat dalam menghadapi Jepun biarpun mungkin ada desakan yang mahu saya menurunkan muka-muka baru untuk pendedahan.

''Ini kerana selain saya mahu pemain-pemain memperbaiki mutu dan corak permainan, saya harap mereka dapat memberikan sesuatu kepada penyokong setia negara yang tidak putus-putus menyokong kami," katanya yang ditemui pada latihan skuad Olimpik di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Kim Swee juga bertegas, dalam situasi sekarang, Malaysia bagaikan menjadi penentu kepada nasib Syria dan Jepun yang sedang bersaing sengit mencari satu slot automatik ke Sukan Olimpik London.

''Kami akan berjumpa mereka dalam perlawanan terakhir dan saya tidak nafikan kedua-dua pasukan ini beraksi bersungguh-sungguh dalam usaha mencari kemenangan dan jumlah jaringan yang besar

''Saya mahu semua pemain jangan sesekali tunduk mudah dan cepat putus asa serta cuba mempertahankan maruah negara," katanya.

Selepas empat perlawanan, skuad Olimpik negara masih gagal mengutip sebarang mata dan berada di tangga tercorot apabila kalah semua aksi bermula dengan Jepun (0-2), Syria (0-2) serta Bahrain dalam dua perlawanan terakhir, (2-3) dan (1-2).

Kim Swee juga bakal berdepan kehilangan ramai pemain utamanya kerana masalah penggantungan dan kecederaan beberapa pemain utama.

Selain ketiadaan dua pemain utama, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Gary Steven Robbat kerana berdepan penggantungan perlawanan, dia berdepan masalah kecederaan K. Gurusamy.

''Di bahagian tengah, saya berdepan sedikit masalah kerana setelah kehilangan Gary, Gurusamy pula berdepan kecederaan ketika bertemu PKNS dan masih belum pulih lagi. Kini, pilihan saya adalah terhad antara Irfan Fazail, Nazmi Faiz dan Mohd. Azizan Nordin, sementara Ahmad Fakri Saarani juga boleh bermain di posisi tengah.

''Sementara Syahrul Azwari menjadi pilihan awal menggantikan tempat Wan Zack," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...