Wednesday, February 8, 2012

Hajat Jang tak sampai


Harian Metro

PENYERANG berbisa, Jean-Emmanuel Effa Owona masih menjadi pemain import tunggal dalam barisan utama Negeri Sembilan selepas hajat skuad itu untuk mendapatkan khidmat pemain dari Brazil pada pertemuan dengan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan status Fernando Augusto de Abreu Ferreira, 27, yang diuji sebelum ini dikatakan belum disahkan, malah dikatakan tidak memenuhi kriteria pemain diperlukan pengurusan pasukan.


Sekalipun Negeri Sembilan amat mengharapkan seorang pemain import yang beraksi di posisi pertahanan bagi digandingkan dengan tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah tapi prestasi Abreu Fereira dikatakan belum cukup mantap untuk bersama skuad Hoben Jang Hoben.



Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mengesahkan pemain itu belum disahkan dan tiada dalam senarai barisan yang diturunkan menentang T-Team, malam ini.


“Pemain import itu belum lagi diterima kerana kami perlu menguji beberapa lagi pemain lain yang benar-benar berwibawa. Pada perlawanan menentang T-Team, kami akan menggunakan pemain sedia ada dan mereka sudah bersedia menggalas cabaran,” katanya.



Mengulas lanjut persiapan menghadapi T-Team, pengendali berpengalaman itu masih menyandarkan harapan tinggi kepada Effa Owona untuk merealisasikan misi meraih tiga mata di halaman sendiri.



Selepas seri dengan Sarawak 2-2 pada perlawanan terakhir sebelum pertandingan berehat seketika minggu lalu, Azraai berharap anak buahnya bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk memastikan sasaran kemenangan tercapai.


Beliau bagaimanapun tetap mengingatkan anak buahnya supaya lebih berhati-hati kerana T-Team dikatakan menguji beberapa pemain import yang mungkin dibawa ke Seremban.



“Pemain Negeri Sembilan perlu waspada kerana pelawat mungkin memperoleh kekuatan baru dengan kehadiran pemain import mereka.


“Saya harap pemain berusaha memberikan persembahan terbaik dan memanfaatkan kelebihan demi mencapai kemenangan kerana ia amat penting bagi memastikan kedudukan pasukan dalam carta melonjak ke posisi lebih baik,” katanya.



Menurut Azraai lagi, beliau tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama kecuali S Kunanlan yang tidak dapat diturunkan kerana kad merah, namun yakin perancangannya tidak terjejas kerana pemain yang ada diyakini mampu menggalas tugas dengan baik.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...