Thursday, February 16, 2012

Lebah kemarau kemenangan


Harian Metro

PRESTASI yo-yo Johor FC mengundang resah buat pengurusan pasukan bertaraf kelab dari selatan tanah air itu yang belum melakar kemenangan di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.





Kekalahan skuad Lebah 2-1 kepada Sarawak cukup memalukan ketika tumpas di laman sendiri bagaikan memberi gambaran barisan pemain di bawah kendalian K Devan masih belum mantap sepenuhnya.

Apa yang disajikan pasukan mengecewakan pengurus pasukan, Wan Nizam Wan Omar yang tidak menyangka pemain mudah dijinakkan barisan Robert Alberts.




“Persembahan yang buruk. Saya sendiri tidak percaya Johor FC boleh tumpas sedangkan kelebihan terletak kepada kita yang beraksi di laman sendiri malah ada pemain yang tidak beri 100 peratus komitmen.

“Lebih buruk lagi, kami kehilangan Shafizan Hashim yang mengalami kecederaan lutut manakala Khairi Kiman juga turut cedera. Pastinya mereka tidak dapat diturunkan menentang Negeri Sembilan pada saingan Piala FA, Sabtu ini.


“Saya agak pelik, seolah-olah ada badi setiap kali beraksi di laman sendiri terutama pemain gagal mempamerkan corak permainan konsisten serta kerap kehilangan bola. Keadaan ini cukup serius dan berharap Devan mampu berbuat sesuatu,” katanya.




Skuad Lebah yang menampilkan pemain import barunya, Arthuro Bernhardt mencipta gol pada minit ke-21 sebelum pemain import Sarawak, Guy Bwele menyamakan jaringan m-34 dan bekas pemain Johor FC, Azizan melengkapkan malam gemilang skuad Bujang Senang itu m-74.

Kelemahan ketara skuad Lebah di posisi tengah yang tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu memberi arahan atau mencorak strategi ampuh sebaliknya, Mohd Khairul Ismail masih belum mampu memberi persembahan mantap.




Benteng pertahanan juga agak rapuh biarpun meletakkan Fernando Agusto Fereirra namun kelibatnya seperti satu pembaziran tatkala pasukan memerlukan pemain import tengah yang mampu menghidupkan persembahan.

“Saya akui benteng pertahahan dan tengah tidak berfungsi dan pemain juga kerap kali gagal menguasai bola sebaliknya pasukan lawan bijak menghukum setiap kesilapan yang dilakukan,” ujar Wan Nizam.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...