Tuesday, February 21, 2012

‘Pemilihan Shahrudin satu penghormatan’


Harian Metro

PEMILIHAN pemain sayap kiri Sabah, Shahrudin Yakup yang dipanggil menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya bermula semalam diharap mampu menyuntik semangat pemain lain untuk terus berjuang mengharungi Liga Super hingga mencapai sasaran ditetapkan.


Ketua jurulatih Sabah, Justin Ganai berkata, pemilihan itu satu penghormatan buat pasukan itu bagi menaikkan semangat selain meletakkan nama anak jati tempatan di persada sukan bola sepak negara.




“Walaupun hanya Shahrudin terpilih, ia sudah cukup menaikkan semangat juang pemain seperti pasukan negeri lain yang turut mempunyai wakil dalam skuad kebangsaan.




“Saya terkejut apabila dihubungi jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang meminta supaya Sharudin menghadiri latihan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Justin berkata, panggilan menyarung jersi kebangsaan itu satu pengiktirafan dan penghormatan terbesar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pemain Sabahawks.


Katanya, tiga pemain Sabah iaitu Mohd Fariss Azlan Mat Isa, Mohd Reithudin Awang Emran dan Rosdin Wasli turut disenarai pendek tetapi Shahrudin lebih bertuah.





“Rajagobal menghubungi saya kali pertama bertanyakan mengenai Sharudin selepas perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Petaling Jaya pada 27 Januari lalu.

“Beliau turut memantau aksi Shahrudin ketika pertemuan menentang Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur.” Katanya, pemain Sabah wajar diberi peluang beraksi dalam skuad kebangsaan berikutan aksi membanggakan ditunjukkan termasuk mengekang asakan Kelantan dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Likas, 8 Februari lalu.




Pemain berasal dari Labuan itu dijangka mempamerkan aksi sulungnya dalam skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan antara Sabah dan Harimau Malaya di Stadium Likas, Jumaat ini.

Terdahulu, Ronny Harun dan Bobby Gonzales turut mendapat perhatian Rajagobal musim lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...