Wednesday, February 22, 2012

Penyokong gesa Kafa utama pemain tempatan


Harian Metro

DI SEBALIK dilema dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mencari pemain import berkualiti, penyokong The Red Warriors pula meminta Kafa supaya tidak terdesak menggunakan pemain import berikutan pemain tempatan lebih mampu menggalas tanggungjawab untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.


Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, Kafa tidak perlu mengharapkan khidmat pemain import jika prestasi pemain tempatan lebih hebat.




Sambil tidak menafikan tindakan Kafa mencari pemain import adalah satu usaha yang baik, beliau berkata, jika berterusan dilanda dilema, masalah itu mungkin menjejaskan pasukan berikutan pemain perlu menyesuaikan diri dengan setiap import yang diambil.




“Kehadiran pemain import sepatutnya memantapkan lagi pasukan tapi perkara sebaliknya berlaku dan ini mengecewakan penyokong, malah pemain tempatan nampaknya lebih hebat,” katanya.

Sebelum ini, aksi pemain import baru, Nwoha Onyekachi dari Nigeria yang diturunkan pada saingan piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu nyata tidak berjaya memikat hati penyokong berikutan mempamer aksi hambar.


Katanya, secara peribadi beliau berpendapat, penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar lebih baik jika dibandingkan dengan Nwoha.





“Walaupun Ghaddar gagal menjaringkan gol, persembahan dia lebih baik, malah semangat yang dipamerkan ketika beraksi memberi keyakinan kepada penyokong dan kami percaya Ghaddar mampu membantu Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pengurusan Kafa dan jurulatih akan menilai kembali prestasi Nwoha sementara menunggu kepulangan Ghaddar dan sesi pertukaran pemain import April ini.




“Ghaddar pulang ke Lubnan untuk melawat ayahnya yang sakit dan akan kembali bersama Kelantan bulan depan untuk saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...