Saturday, February 25, 2012

Piala Presiden tidak 'digantung'



KUALA LUMPUR - Meskipun dilanda kes rasuah terbaru membabitkan pasukan Piala Presiden Johor FC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menggantung perjalanan Piala Presiden musim ini.

Jaminan itu diberikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menganggap kes membabitkan skuad Piala Presiden Johor FC adalah yang pertama pada musim ini dan ia belum melibatkan kebanyakan pasukan bertanding.



''Buat masa sekarang, kami di FAM tidak fikir benda itu (penggantungan enam pemain Piala Presiden Johor FC) akan mengganggu keseluruhan kejohanan Piala Presiden yang telah melalui enam perlawanan.

''Ini kerana walaupun kes rasuah melibatkan skuad Piala Presiden bukan satu perkara yang baru, ia berbeza dengan beberapa kes sebelum ini yang melibatkan pasukan Negeri Sembilan, MP Muar dan T-Team.

''Ketiga-tiga pasukan itu terlibat dalam mengatur perlawanan pada saingan Piala Presiden musim lalu, sebaliknya Johor FC menjadi pasukan pertama 
(Piala Presiden) disiasat pada tahun ini.

''Walaupun begitu, kami akan terus melakukan siasatan secara lebih terperinci dan terus memantau melalui Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan 
Ketelusan FAM di bawah Datuk Aseh Che Mat. Apa-apa pun saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Johor FC yang bijak mengambil inisiatif awal membendung gejala rasuah," katanya kepadaUtusan Malaysia, semalam.

Hamidin pada masa sama melahirkan kebimbangan dan terkejut kerana trend mengambil rasuah ini semakin menular di kalangan pemain pelapis dan memberi bayangan masa depan bola sepak negara berada dalam keadaan mencemaskan.

''Saya risau bagaimana rupa bola sepak negara kita dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang, ini kerana pemain-pemain yang sedang beraksi di Piala Presiden merupakan generasi yang akan bermain di peringkat senior," katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar juga sependapat dengan Hamidin yang menganggap pembabitan pemain muda dalam isu rasuah perlu diberikan perhatian serius.

''Kita kenal pasti mengapa generasi pemain muda hari ini tergamak mengambil rasuah, adakah jati diri mereka tidak kuat atau terkena kejutan budaya?

''Bagi saya, sesuatu tindakan di peringkat awal perlu dilakukan dengan menerapkan pendidikan kaunseling kepada semua pemain muda supaya mereka mempunyai pegangan disiplin yang kuat," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...