Wednesday, February 15, 2012

Pos mula temui rentak



KUALA LUMPUR - Biarpun tidak menggunakan sebarang pemain import musim ini, Pos Malaysia tetap yakin mereka mampu menamatkan cabaran di kalangan empat pasukan terbaik Liga Perdana pada musim ini.



Jurulatihnya, G. Torairaju, berkata, pasukannya kini secara perlahan-lahan sudah mendapat rentak dan kemenangan dua kali berturut-turut termasuk ketika bertemu Harimau Muda B semakin menyalakan keyakinan bahawa mereka mampu menghadirkan saingan sengit kepada pasukan lain.

"Pos tidak menggunakan sebarang pemain import dan akan mempertaruhkan pemain tempatan 100 peratus musim ini, saya berkeyakinan tinggi dengan pasukan ini.

''Walaupun dalam lima perlawanan awal saya tidak dapat menggunakan ramai pemain utama kerana mengalami masalah kesihatan seperti demam, kami masih mampu mencatatkan beberapa kemenangan.

"Kemenangan 2-1 kepada Harimau Muda B meskipun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, menunjukkan para pemain saya mempunyai kekuatan mental untuk bangkit dan sama sekali tidak cepat mengaku kalah," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Harimau Muda B terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-30 melalui Mohd. Hadin Azman tetapi beraksi buruk pada separuh masa kedua lantas membuka ruang kepada Mohd. Hafizi Amiruddin menyamakan kedudukan kepada Pos pada minit ke-60.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...