Saturday, February 25, 2012

PSM sudi bantu FAM


Harian Metro

MESKIPUN belum ada jaminan, pihak pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menyuarakan kesudian membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal tuan rumah saingan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF, hujung tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nor Azinah Zaniby Wan Hashim berkata, SNBJ akan ditutup awal April ini bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung dan mereka akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar projek itu disiapkan sebelum kejohanan berlangsung pada 24 November hingga 22 Disember ini.




“Saya tidak tahu berapa lamakah projek ini akan siap kerana JKR belum memberi laporan penuh. Bumbung stadium perlu dibaik pulih dengan segera. Meskipun tidak membabitkan bahagian struktur bumbung, saya tidak berani nak cakap tempoh kerja baik pulih akan siap kerana JKR yang lebih pakar.




“Projek membaiki bumbung ini tidak boleh ditangguhkan lagi dan perlu dilaksanakan tahun ini juga kerana kami sudah mendapat peruntukan kerajaan di bawah RMK-10 dan keadaan bumbung itu juga sudah kritikal. Apa yang boleh dilakukan adalah berbincang dengan JKR mengenai sebarang kemungkinan kerja-kerja baik pulih ini dapat disegerakan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Nor Azinah berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan disuarakan FAM mengenai kemungkinan mereka bakal terlepas hak tuan rumah bersama Thailand tahun ini jika SNBJ tidak dapat digunakan.


Sekiranya SNBJ yang mempunyai kapasiti lebih 80,000 penonton itu ditutup hingga hujung tahun ini, ia pasti memberi perkhabaran gembira buat Persekutuan Bola Sepak Filipina yang memang berhajat sejak awal untuk menjadi penganjur kejohanan paling berprestij di rantau ini.





Jika hak itu terlepas ke tangan negara lain pastinya ia amat merugikan buat skuad Harimau Malaya yang mengharapkan sokongan padu penyokong dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi buat kali pertama dua tahun lalu.

Dan kerugian itu turut dirasai PSM yang menganggap penganjuran Piala Suzuki AFF itu bukan saja dapat menambah sumber pendapatan malah meningkatkan profil stadium yang dibina bagi Sukan Komanwel 1998 itu.




“Kejohanan ini bukan saja penting buat pasukan kebangsaan dan juga peminat bola sepak tapi ia menjadi sumber pendapatan pihak stadium. Kami juga mahu imej stadium ini terus meningkat dengan menganjurkan kejohanan besar seperti Piala Suzuki AFF ini,” kata Nor Azinah.

SNBJ menjadi saksi kejayaan skuad kendalian Rajagobal ketika muncul juara kejohanan dwi tahunan itu dengan menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi final pertama sebelum tewas 2-1 pada pertemuan kedua di Stadium Gelora Bung Karno.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...