Wednesday, February 29, 2012

Selamat tinggal Kelantan - Butler



Affandi Hamzah (kanan) dan Peter Butler bersalam selepas mengadakan pertemuan di Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menamatkan kontrak Peter Butler selaku ketua jurulatih The Red Warriors berkuat kuasa semalam.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam pertemuan yang berlangsung di Wisma KAFA, di sini.



Ia sekali gus menamatkan 'perang dingin' antara KAFA dan Butler yang 'direhatkan' berikutan kelantangan beliau berhubung isu pengambilan pemain import yang jelas mengundang rasa kurang senang pihak pengurusan KAFA.

Timbalan Presiden KAFA yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan persatuan, Datuk Affandi Hamzah pada sidang akhbar berkata, pertemuan itu yang turut dihadiri Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.

Ditanya siapa pengganti Butler, Affandi memberitahu, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa selepas mendapat kelulusan ahli majlis.

"Buat masa ini, tugas Butler akan diuruskan oleh penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Sidek Samsuddin yang akan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hamra Red Warriors, Bojan Hodak," ujarnya.

Butler dilantik pada Oktober lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk M. Karathu yang memutuskan untuk bersara.

Sementara itu, Butler ketika ditemui menerima keputusan tersebut dan gembira kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya bergembira dapat berkhidmat dengan pasukan Kelantan dan mempunyai pembantu yang cukup dedikasi. Saya bangga kerana meninggalkan pasukan ini dengan rekod yang baik," katanya yang belum pasti mengenai arah tujunya selepas ini, tetapi akan tetap menjadi seorang jurulatih.

Dalam pada itu, spekulasi siapa pengganti Butler mula menjadi tajuk bualan penyokong The Red Warriors dan antara yang dikaitkan dengan pasukan Kelantan ialah Hodak, bekas jurulatih Felda United, Reduan Abdullah dan Karathu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...