Friday, March 30, 2012

Ahmad kesal penghinaan berbaur perkauman terhadap Doe


Harian Metro

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Said kesal dengan apa yang terjadi di Stadium Jalan Besar yang mana penyerang Terengganu, Francis Doe, dicaci penyokong LionsXII dalam perlawanan timbal balik kedua suku akhir Piala FA, Selasa lalu.


Doe yang diherdik penonton dengan panggilan ‘monkey’ (monyet), orang hitam, ‘kunta-kinte’ dan ‘nigger’ (ungkapan penghinaan kepada orang berkulit hitam) masih lagi terkilan, malu, sedih dan marah dengan kejadian itu.


Penyerang warga Liberia berusia 26 tahun itu tidak menyangka kebencian perkauman masih wujud di Singapura berkata, pedih hatinya mendengar ejekan penonton dan sukar memberi sepenuh perhatian kepada perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan.




Ahmad dan Doe mahu sesuatu dilakukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memastikan kejadian memalukan itu tidak berulang, namun Presiden, Datuk Che Mat Jusoh berkata, tidak akan ada tindakan yang bakal diambil.

“Kita perlu mengambil jalan terbaik supaya perkara tidak diingini ini tidak berulang lagi dan sekiranya silap percaturan, pergaduhan yang jauh lebih besar akan berlaku apabila kedua-dua pasukan bertemu semula dalam saingan Liga Super ataupun Piala Malaysia.


“Buat masa ini, kami menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengambil apa saja tindakan yang mereka rasa patut kerana kejadian itu berlaku dalam saingan Piala FA yang berada di bawah kelolaan FAM,” katanya.





Che Mat yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata, Terengganu akan sekali lagi bertandang ke Stadium Jalan Besar, Rabu depan untuk bertemu Tampines Rovers dalam perlawanan peringkat Kumpulan F, Piala AFC.

“Kami harap semua akan kembali tenang pada ketika itu dan tidak ada lagi usaha jahat penonton untuk mencari kelebihan dengan memberi tekanan kepada Doe, penyerang terbaik kami yang mungkin digeruni penyokong lawan,” katanya.




Doe bagaimanapun mengaku tidak bersemangat untuk kembali ke Singapura kerana takut akan menerima kutukan lebih teruk daripada penyokong yang dilabel tidak bertamadun oleh pasukan Terengganu.

“Memang hati saya berat bermain di stadium sama di sana namun sebagai pemain profesional, saya mempunyai tanggungjawab kepada pasukan dan sudah tentu saya akan menunaikan tugasan.


“Saya hanya mampu berdoa agar mereka yang menghina saya sebelum ini insaf dan tidak lagi merasakan mereka perlu menjatuhkan maruah saya demi kejayaan pasukan kesayangan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...