Wednesday, March 21, 2012

Aksi persahabatan tak terjejas


Harian Metro 


KEJADIAN penyokong Sarawak kecoh di Stadium Negeri, malam Ahad lalu tidak menjejaskan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Ngap Sayot, Sabtu ini.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi berkata, perlawanan persahabatan itu tetap dilangsungkan seperti dijadual di stadium itu, bermula jam 8.15 malam.




Abdullah berkata, pasukan kebangsaan bimbingan Datuk K Rajagobal tampil ke Sarawak tanpa Mohd Safee Sali yang kini berada di Indonesia beraksi dengan kelab Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia. Beliau berkata perlawanan dijangka menarik dan menggesa peminat datang beramai-ramai ke stadium untuk menyaksikan perlawanan itu.




“Perlawanan ini amat penting bagi Ngap Sayot dalam usaha mengekalkan momentum saingan Liga Super, selain peluang untuk peminat menyaksikan aksi pasukan senior kebangsaan.

“Lagipun, ia satu penghormatan bagi pasukan kebangsaan datang ke negeri ini untuk bermain dengan pasukan kita,” katanya.


Abdullah berkata, FAS menetapkan tiket berharga RM10 untuk dijual kepada peminat menyaksikan perlawanan terbabit.




Sementara itu, Abdullah berkata, FAS belum menerima sebarang laporan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden itu.

“Saya tidak pasti apa tindakan bakal diambil FAM tapi FAS juga mempunyai laporan untuk dikemukakan kepada FAM jika dipanggil memberi keterangan.



“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi komen lanjut dan akan membuat kenyataan apabila tiba masanya,” katanya. 




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...