Saturday, March 24, 2012

Annuar jawab tuduhan


Harian Metro 


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa sudah menjawab surat pertuduhan semalam dengan memberikan hujah berhubung kenyataannya mengenai skuad negara, minggu lalu.


Katanya, hanya dua tuduhan yang dikenakan terhadapnya iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran dan melanggar titah seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bukannya tiga seperti dilapor media sebelum ini.


Untuk tuduhan membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran, Anuar berkata: 



“Saya melakukannya dalam majlis rasmi FAM di mana saya dijemput ke sana atas tugas saya selain sidang media yang dipanggil FAM, tidak timbul saya membuatnya tanpa kebenaran.



“Bagi titah Tengku Abdullah pula, beliau berkata ia bukan keputusan mesyuarat, ia cuma ucapan alu-aluan. Kandungan titah ucapan dengan kenyataan saya tidak bercanggah. Saya tidak mempertikai dasar atau keputusan FAM manakala pandangan saya adalah mengenai skuad negara,” katanya.

Annuar sebelum ini dikenakan pertuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak negara selepas membuat kenyataan mengenai prestasi skuad negara selepas majlis penutupan Bengkel Pemasaran & Pembangunan Penyokong Kelab, Selasa lalu.


“Saya percaya dengan kewibawaan Jawatankuasa Disiplin dan sudah menunaikan peraturan untuk memberikan jawapan pada masa yang ditetapkan,” katanya.





Mengenai pertimbangannya untuk mengupah peguam, Annuar berkata: 


“Terpulang kepada keadaan, pagi tadi (semalam) pun saya ada berbincang dengan peguam yang mempunyai pengalaman luas dalam AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang banyak memberikan nasihat dan pandangan.

“Kita tengok dulu perkembangannya, namun buat masa ini kita pergi selangkah demi selangkah. Untuk tahap ini saya hanya perlu jawab mengikut masa ditetapkan”.




Menurutnya lagi, keutamaan baginya adalah menjalankan tugas dengan cara terbaik untuk bola sepak yang difikirkan betul mengikut peraturan sedia ada.

“Tugas saya sebagai orang nombor dua adalah mempertahankan dasar FAM dan memastikan kebajikan dijaga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...