Friday, March 30, 2012

Annuar rela dihukum


Harian Metro

“SAYA sedia terima apa saja hukuman,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa mengulas tindakan yang bakal dihadapinya dalam perbicaraan, Rabu ini.


Annuar yang juga Pengerusi Malaysia Super League (MSL) berkata, beliau bersikap terbuka terhadap isu itu dan sedia hadir pada perbicaraan selepas didakwa mengkritik skuad Harimau Malaya.


Beliau juga akan mematuhi dan menghormati segala keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM yang akan dihadapinya pada 4 April selain menggunakan peluang itu untuk memberi penjelasan.




“Saya rasa tiada siapa boleh berada di atas peraturan. “Walaupun sebagai Timbalan Presiden FAM, saya tidak kisah dan akan menerimanya sebagai pengalaman berguna,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Menteri Pertanian dan Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjung Chat, Kota Bharu, semalam.

Apabila ditanya sama ada isu itu memerlukan campur tangan Pesuruhjaya Sukan, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menganggap itu masih tidak perlu tapi tidak mengetahui sekiranya Pesuruhjaya Sukan melihat daripada sudut lain.


“Peringkat awal ini kita terima apa yang ada dalam FAM dengan mengikut saluran biasa. Saya fikir semua orang perlu sedia mematuhi prosedur sedia ada.



“Tiada siapa harus dikecualikan, saya fikir kalau Presiden dan Timbalan Presiden buat salah, beliau tetap perlu hadapi Jawatankuasa Disiplin FAM,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan Annuar mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika ditanya pemberita selepas Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab MSL Sdn Bhd di Shah Alam 13 Mac lalu mengundang padah apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak mengemukakan dua pertuduhan ke atasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...