Tuesday, March 20, 2012

Annuar timbang ambil peguam


Harian Metro 


TIMBALAN Presiden Persatuan Bolesepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa belum menerima surat tunjuk sebab daripada badan induk bola sepak negara itu berhubung tindakannya yang dikatakan mengkritik prestasi skuad kebangsaan menerusi media baru-baru ini.


“Saya masih belum menerima surat dari FAM. Saya akan masuk pejabat Jumaat ini selepas pulang dari Myanmar,” katanya menerusi laman sosial Facebook.




Bernama melaporkan Timbalan Pengerusi Pasukan Kebangsaan berkata beliau akan meneliti isi kandungan surat itu sebaik menerimanya dan akan membuat pertimbangan sama ada perlu melantik peguam bagi membela diri.




FAM sebelum ini menuntut Annuar supaya memberi maklum balas terhadap kritikannya sebelum Jumaat ini dan Jawatankuasa Disiplin FAM akan menilai maklum balas itu sebelum dipanggil berdepan jawatankuasa itu pada 29 Mac ini. Annuar didakwa melanggar peraturan FAM selepas menyatakan keraguannya terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 pada hujung tahun ini berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.

Mengikut peraturan yang ditetapkan FAM, hanya Presiden yang mempunyai kuasa memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.


Andai itu peraturan FAM, Jawatankuasa Disipiln juga perlu memanggil Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad kerana mengkritik kegagalan skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee pada kelayakan Olimpik.




Azzuddin berkata beliau kecewa dengan kegagalan itu ketika menjawab soalan wartawan Astro Arena pada 16 Mac lalu.

Arena Metro difahamkan, Azzuddin sendiri melanggar peraturan FAM itu apabila mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik skuad kebangsaan.




Jika didapati bersalah, beliau boleh dipecat kerana jawatan Setiausaha Agung hanyalah lantikan dan bukan pemilihan pada kongres badan induk itu.

Fokus kini tertumpu kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Taufik Abdul Razak. Apakah beliau akan mengeluarkan kertas pertuduhan ke atas Azzuddin? Integriti beliau diperhatikan pemerhati serta peminat sukan bola sepak tempatan.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...