Wednesday, March 28, 2012

Azzuddin lepas, Annuar sangkut


Harian Metro

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad terselamat daripada sebarang dakwaan apabila Jawatankuasa Tatatertib memutuskan beliau berhak membuat kenyataan berpandukan kepada peruntukan yang termaktub dalam peraturan badan induk bola sepak tanah air itu.


Namun nasib berbeza buat Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa apabila dua pertuduhan ke atasnya kerana kesalahan mengeluarkan kritikan secara terbuka akan dibicarakan pada 4 April ini selepas jawatankuasa itu yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak menerima permohonan penangguhan perbicaraan kes itu.


“Merujuk kepada Artikel 88 bagi peraturan 2010-2014 FAM yang hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung boleh membuat kenyataan, kita tidak akan membuat sebarang dakwaan terhadap Datuk Azzuddin.




“Kami sudah berbincang dan meneliti kenyataan yang dibuat Datuk Azzuddin dan ternyata kenyataannya tidak melanggar kod Tatatertib 4.5.8 FAM.

“Kenyataan beliau tidak menjurus kepada unsur-unsur menghina atau menjejaskan imej Persatuan Bola Sepak Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Sebelum ini jawatankuasa itu didesak supaya berlaku adil dengan mengkaji untuk membuka kertas siasatan ke atas Azzuddin yang mengkritik kegagalan skuad Olimpik negara pada 16 Mac lalu selepas Annuar disabitkan dengan dua pertuduhan kerana mengkritik kemerosotan prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal pada 13 Mac lalu.




Bagaimanapun kes Annuar tetap dibicarakan dengan pihak Jawatankuasa Tatatertib sedia menangguhkan hari perbicaraan yang sepatutnya diadakan esok bagi memberi ruang kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu membuat pembelaan.

“Tan Sri Annuar sudah menghantar surat meminta menangguhkan perbicaraan itu kerana tidak dapat hadir atas sebab perlu menghadiri satu majlis bersama Kada (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) jadi kami setuju menunda kepada 4 April.




“Sebenarnya kami boleh meneruskan perbicaraan itu tanpa memanggilnya kerana beliau sudah menjawab surat pembelaan namun kami masih bertimbang rasa dan tetap memberi peluang kepadanya untuk hadir pada hari perbicaraan,” kata Taufek.

Namun ketika ditanya, adakah kehadiran Annuar diperlukan kerana hujah pembelaannya dalam surat yang dihantar sebelum ini tidak boleh diguna pakai, Taufek menjawab: “Saya tidak boleh komen perkara itu, tunggu 4 April, jawatankuasa akan menilainya.”


Taufek kemudian turut ditanya adakah Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin akan dibicarakan kerana secara lantang bersuara supaya FAM bersikap lebih terbuka tapi beliau menjelaskan kenyataan Zainol itu sekadar pandangan peribadi serta tidak perlu dikenakan tindakan.


Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib semalam turut membicarakan kes salah laku pemain import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona yang dijatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM3,000 atas kesalahan menarik telinga penjaga gol Felda United, Mohd Hamsani Ahmad dan menolak pipi S Sivanesan ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super pada 21 Januari lalu.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...