Tuesday, March 27, 2012

‘Bukti keupayaan’


Harian Metro 

PENTAS bola sepak Malaysia boleh dikategorikan sebagai pelik kerana ketika peminat luar negara sibuk mengikuti perkembangan skuad kebangsaan, ada segelintir pihak di negara ini yang lebih tertarik untuk membicarakan perkara remeh atau kenyataan yang dianggap sumbang seperti dikeluarkan mana-mana pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).



Menyedari hakikat itulah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tampil dengan kenyataan: “Apa yang diperkatakan pegawai FAM tidak penting sangat. Apa yang penting, bagaimana pemain kita membuktikan keupayaan mereka di atas padang.” Beliau juga sedar, adalah mustahil untuk FAM menutup mulut semua pihak termasuk pegawai mereka dan Tengku Abdullah mempunyai jalan penyelesaian sendiri iaitu semua kritikan itu akan padam dengan sendirinya andai pemain mampu menjalankan tanggungjawab yang terpikul di bahu masing-masing.

“Perkara itu (kritikan pegawai FAM terhadap skuad kebangsaan) tidak perlu dijadikan sensasi sangat. Apa yang penting pemain itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang, kita terlalu banyak mengambil petikan kata-kata individu tertentu termasuk saya sendiri hinggakan tumpuan kita untuk menaikkan mutu bola sepak terjejas.




“Marilah kita tumpukan perhatian kepada pemain dan sukan itu sendiri. Bukannya sensasikan kenyataan sesiapa,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dikhabarkan bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk kebangsaan itu atas tuduhan mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kemampuan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF.


Senario itu pantas menarik pelbagai pandangan umum dan sebahagian besar berpendapat FAM perlu lebih terbuka untuk menerima kritikan daripada semua pihak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...