Friday, March 30, 2012

FAS tunggu aduan rasmi


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) masih menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden kontroversi penyokong Singapura menghina penyerang import Terengganu, Francis Doe dengan kata-kata berbaur perkauman.


“Kami belum mendapat aduan rasmi berhubung insiden itu. Jika FAM atau pasukan Terengganu tidak membuat aduan kami tidak boleh bertindak. Kami dimaklumkan menerusi laporan media hari ini (semalam) bahawa Terengganu tidak mahu membuat aduan dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” kata jurucakap FAS ketika dihubungi Arena Metro semalam.




Katanya, FAS sudah menyatakan pendirian dengan jelas selepas insiden itu berlaku bahawa mereka tidak bertolak ansur dalam isu perkauman.




Semalam Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melabel penyokong Singapura yang mengejek Doe dengan kata-kata seperti ‘monkey’ (monyet) dan ‘nigger’ (ungkapan penghinaan kepada orang kulit hitam) sebagai tidak bertamadun.

Insiden itu berlaku ketika Doe beraksi bersama Terengganu menentang LionsXII dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar Selasa lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan namun Terengganu mara dengan agregat 1-0.


Sementara itu dalam laman web sukan, JustSports.com.sg semalam mendedahkan pengakuan sekumpulan penyokong Singapura yang terbabit dengan insiden menghina Doe.





Menurut salah seorang wakil kumpulan itu yang dinamakan sebagai ‘X’, mereka memanggil Doe dengan perkataan ‘Ah Meng’ dan “Orang Hitam’ sebagai tanda tidak puas hati dengan kelakuan pemain import dari Liberia itu pada aksi suku akhir pertama Piala FA.

Bagi penyokong itu, mereka menganggap Doe bersikap keterlaluan hingga menyebabkan pemain LionsXII, Hariss Harun dilayangkan kad merah sekali gus tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua.




Namun X menafikan mereka bersikap perkauman dengan berkata: “Jika kami bersikap perkauman, kami akan memanggilnya ‘nigger’ atau ‘negro’, namun kami tidak memanggilnya dengan perkataan itu. Kami memang marah dengan Francis Doe tapi kami masih tahu batasannya.” Sementara itu, Arena Metro cuba mendapatkan reaksi daripada jurulatih LionsXII, V Sundramoorthy mengenai insiden itu namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh memberi sebarang komen, saya hanya boleh bercakap mengenai bola sepak, selain daripada itu saya tidak mahu komen,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...