Wednesday, March 28, 2012

FC Ryukyu minat Zaharul, Wan Zack


Harian Metro

DUA pemain Harimau Muda A berjaya menarik perhatian kelab Jepun, FC Ryukyu, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor dengan kedua-duanya mungkin beraksi untuk kelab berpangkalan di Okinawa itu pada Julai ini.


Jurulatih Ong Kim Swee berkata, perbincangan mengenai perkara itu dengan kelab Ryukyu masih dijalankan namun beliau mencadangkan agar kedua-dua pemain itu terus bersama hingga selesai tugasan penting dengan skuad Bawah 22 Tahun negara bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 22 Tahun bermula Jun ini.


“Masih belum ada keputusan dibuat kerana kami masih berbincang setakat ini. Pada mulanya mereka mahu memanggil kedua-dua pemain itu pada Mac ini namun saya mencadangkan Julai sebagai waktu yang lebih baik, iaitu selepas selesai pusingan kelayakan AFC.




“Saya tidak ada masalah melepaskan Wan Zaharulnizam dan Wan Zack tapi saya mahu kedua-dua pemain bersama skuad untuk pusingan kelayakan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Nike The Chance Malaysia semalam.

Sebelum ini, wakil ejen pencari bakat Japan Dream FA, Masao Kiba sudah mengadakan pertemuan dengan Kim Swee selepas perlawanan kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu. kerana berminat menawarkan tempat kepada Wan Zaharulnizam bagi menghadiri ujian percubaan dengan kelab Divisyen Tiga itu.


Selepas mengadakan perbincangan awal, Kim Swee mencadangkan kepada kelab itu supaya membawa bersama Wan Zack Haikal mengikuti ujian percubaan itu.




Bakat pemain sayap Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai ‘Kecik’ dikesan Masao Kiba, bekas kapten Gomba Osaka ketika beraksi bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun pada aksi kelayakan di Tosu, Jepun September lalu.

Sementara itu, Kim Swee yang dilantik sebagai salah seorang pengadil bagi program The Chance Malaysia berkata, program pencarian bakat pemain bola sepak berusia 16 hingga 24 tahun oleh Nike itu menyediakan pentas terbaik buat pemain yang gagal mendapat tempat dalam mana-mana pasukan.


“Program ini bukan hanya mencari seorang penyerang tapi juga pemain di semua posisi. Ada pemain berbakat yang mungkin terlepas pandang dan dengan program sebegini kita boleh menyenaraikan mereka ke dalam Sekolah Sukan,” katanya.

The Chance Malaysia bermula 13 hingga 19 April ini di tiga lokasi membabitkan Kedah, Johor dan Selangor bagi mencari lima pemain terbaik di peringkat kebangsaan untuk bersaing di peringkat serantau di Jakarta. 



Selepas itu, empat pemain terbaik serantau beraksi di peringkat akhir dunia di Barcelona, Sepanyol yang akan memberi peluang kepada mereka menjalani latihan intensif yang turut dikendalikan jurulatih, Pep Guardiola. Bagi mereka yang berminat, layari laman web, www.nikefootball.com.my.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...