Wednesday, March 14, 2012

Harimau Malaya longlai


Harian Metro 


PRESTASI skuad negara yang bakal mempertahankan Piala AFF penghujung tahun ini sememangnya menggusarkan banyak pihak seandainya keputusan perlawanan persahabatan antarabangsa diambil kira.


Ia turut mengundang keresahan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa yang secara peribadinya menyifatkan prestasi yang dipamerkan skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu sebagai tidak menentu.


Terbaru ketika menentang Filipina pada hujung bulan lalu, skuad Harimau Malaya terpaksa menunggu jaringan lewat bagi mengikat lawan dengan keputusan 1-1.




“Secara terus-terang dan peribadi, saya merasakan prestasi (skuad negara) tidak menentu. Kadang-kadang kala alasan yang diberikan tidak boleh diterima oleh semua pihak seperti hendak mencuba. Bola sepak adalah perkara yang berjalan sepanjang masa dan tidak boleh mengatakan ia lakukan untuk tempoh empat tahun akan datang.

“Ia perlu disukat pada setiap masa dan kejohanan, siapa yang boleh menjamin empat tahun lagi kita akan menjadi lebih baik,” kata ketika ditemui semalam.


Tambahnya lagi, Malaysia akan berada di puncak dalam tempoh yang lama sekiranya mempunyai sistem pembangunan bola sepak yang stabil seperti Jepun yang menjadi pendahulu di Asia untuk tempoh yang lama.





“Kalau kita melahirkan pasukan yang pada tahun tertentu namun selepas itu kita mendapat prestasi kembali merudum. Mungkin secara kebetulan atau kadang-kadang kita menang namun selepas itu akan mereka mempamerkan aksi tidak menentu. Kadang-kadang pemain yang bagus hadir secara kebetulan namun sekiranya kita mempunyai sistem yang bagus, ia bakal menjamin kita akan berada di tahap tertentu untuk tempoh yang lama,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendekatan yang digunakan dalam membangunkan Harimau Muda tidak seharusnya berkekalan kerana akan ada pemain lain yang menonjol tidak berada dalam kelompok berkenaan seperti Khairul Fahmi Che Mat walaupun menelan kos yang tinggi.




“Sebab itu memperkasakan liga tempatan adalah jawapannya. Saya yakin kita akan mendapat skuad negara yang kuat apabila mempunyai liga yang kuat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...