Thursday, March 29, 2012

Harimau Muda tak menang tangan


Harian Metro

WALAUPUN gagal dalam perebutan tiket ke Sukan Olimpik London, aksi skuad Bawah 22 Tahun negara pada pusingan peringkat kumpulan sebelum ini sekurang-kurangnya membuka mata pasukan handalan di Asia.


Selepas dua pemain, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor cuba dipancing kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, skuad negara kendalian Ong Kim Swee itu mula tidak ‘menang tangan’ untuk memenuhi jemputan pasukan luar bagi aksi persahabatan antarabangsa.


Terbaru pasukan B-22 China dan Iran menyatakan minat untuk menguji kemampuan skuad negara sebagai aksi pemanas badan sebelum bermulanya pusingan Kelayakan Piala Asia 2013 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-22 Jun ini.




“Kami baru menerima jemputan pasukan China dan Iran untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada Mei dan Jun ini. Bagi saya Ini satu perkembangan positif buat skuad muda negara apabila sudah ada pasukan luar yang mula membuka mata selepas kejayaan kita melangkah ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London tempoh hari.

“China mahu mengadakan perlawanan pada 23 Mei atau 10 Jun manakala Iran pula hanya mengikut tarikh yang kita tetapkan. Buat masa ini saya masih mengkaji permohonan ini kerana tumpuan saya adalah membawa pasukan berlatih dan mengadakan perlawanan di Eropah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kim Swee yang membimbing skuad Bawah 23 negara menjuarai pingat emas Sukan Sea Indonesia tahun lalu turut merancang mengadakan latihan dan perlawanan di Hungary menentang kelab liga utama negara itu, Budapest Honved dan Ferencvaros pada pertengahan Mei.




“Kalau boleh keutamaan saya adalah latihan di Eropah, selepas Hungary kami bercadang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Slovakia ataupun Republik Czech namun ini masih dalam perancangan. Bagaimanapun saya akan memutuskan perkara ini selewat-lewatnya minggu depan.

“Bagi saya, walaupun pasukan ini mempunyai perlawanan dalam Liga Singapura, perlawanan persahabatan antarabangsa juga cukup penting sebagai persediaan pusingan kelayakan Piala Asia. Perlawanan di peringkat antarabangsa memberikan saingan dan pengalaman berbeza buat pemain,” katanya.




Pada pusingan kelayakan Piala Asia B-22, Malaysia akan bersaing bersama Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina bagi merebut dua slot dalam Kumpulan G untuk beraksi di pusingan akhir kejohanan yang julung kali diadakan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...