Wednesday, March 14, 2012


 


KUCHING: Pemain muda Sarawak, Ashri Chuchu, 21, membuktikan keyakinan tinggi untuk menyarung jersi pasukan Malaysia dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Syria di Amman, Jordan, Rabu ini (14 Mac).


Ashri yang dihubungi Utusan Borneo di ibu negara semalam memberitahu bahawa beliau amat yakin mampu disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan nanti.


“Saya baru sahaja menjalani latihan bersama skuad negara beberapa hari lalu dan ujian pertama saya ketika kami menentang ATM petang kelmarin (Sabtu),” katanya.





Pada perlawanan itu, skuad muda negara berjaya menewaskan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bimbingan bekas jurulatih negara, B. Sathianathan dengan jaringan 4-2.


Walaupun tidak menjaringkan gol, namun Ashri mampu membuktikan kehebatannya bersama-sama skuad negara.


Skuad negara berlepas ke Amman, Jordan hari ini dan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee akan memilih kesebelasan utamanya sebelum pertemuan dengan Syria di sana.


Difahamkan kesemua 22 orang pemain yang dipanggil menjalani latihan dibawa semua ke Amman, Jordan.


“Saya terasa amat teruja dapat bersama-sama skuad negara terbang ke Amman, Jordan esok (hari ini)


“Justeru, saya akan membuktikan kemampuan sebenar apabila diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama skuad negara kelak,” kata Ashri bersemangat.


Sehubungan itu, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts ketika dihubungi semalam turut melahirkan rasa bangga dengan kepercayaan tinggi yang disandarkan negara kepada Ashri.


“Saya percaya Ashri mampu melakukan yang terbaik untuk skuad negara kerana dia merupakan pemain muda Sarawak yang bersemangat waja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...