Thursday, March 22, 2012

Muslim gesa rakan bangkit

Harian Metro


KAPTEN Terengganu, Muhammad Muslim Ahmad mengajak rakan sepasukannya melupakan episod duka kekalahan kepada Kitchee FC di laman sendiri, petang kelmarin dengan memberi fokus terhadap kunjungan LionsXII dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Sabtu ini.


Dia yang juga bekas pemain pertahanan Harimau Muda, berkata kekalahan kepada Kitchee FC dalam saingan Piala AFC perlu dijadikan pengajaran sebelum membuat perhitungan dengan pasukan dari Singapura itu dalam misi mempertahankan trofi Piala FA yang dimenangi musim lalu.





 “Kekalahan itu memang memeritkan, tapi kami perlu layak ke separuh akhir Piala FA ini. Saya juga berharap semua pemain dapat melupakan kekalahan itu dengan memberi fokus 100 peratus ketika menentang LionsXII nanti sebagai bekalan selesa untuk perlawanan di Singapura,” katanya yang baru tiga kali menggantikan bekas kapten, Marzuki Yusof yang cedera.

Selain itu, kapten berusia 23 tahun itu percaya strategi dan taktikal berbeza yang bakal diterapkan jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris diharap mampu menjinakkan LionsXII.




Bagaimanapun, Muhammad Muslim yang juga pemain skuad senior kebangsaan itu turut mengakui bukan tugas mudah untuk menundukkan lawan biarpun Terengganu juara bertahan Piala FA.

“Meskipun kita pernah menang 1-0 dalam saingan Liga Super di tempat mereka, ia bukan jaminan kami perlu mengambil mudah pertemuan ini. 



Tekanan pasti hadir lantaran mereka bukan calang-calang pasukan kerana turut mempunyai 10 pemain kebangsaan,” katanya yang optimis Terengganu mampu menang biarpun tanpa kehadiran beberapa pemain utama akibat cedera.

Sementara itu, Mat Zan yang kecewa dengan kekalahan 0-2 kepada kelab dari Hong Kong itu berharap anak buahnya kembali bangkit mencari seberapa banyak jaringan sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di laman lawan.



 “Saya tidak mahu pemain menjadikan faktor keletihan sebagai alasan gagal memberikan yang terbaik Sabtu ini. Kekalahan itu perlu dijadikan iktibar untuk bangkit,” katanya.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...