Saturday, March 24, 2012

Peluang pemain tempatan turuti langkah Safee


Harian Metro 


PELUANG kini terbuka luas kepada pemain tempatan untuk mengikut jejak langkah penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali mengembangkan bakat ke Indonesia dan menjadi pemain disegani.


Sejumlah aksi persahabatan yang dinamakan Siri Nusantara membabitkan pasukan bola sepak tempatan dan kelab Indonesia yang terpilih diatur bermula esok dengan pertemuan juara Piala Sultan Ahmad Shah musim ini, Negeri Sembilan menentang Persebaya FC membuka tirai di Stadium Tunku Abdul Rahman di Paroi.


Hakikat itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Persebaya FC, Dityo Pramono (gambar) yang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak mustahil.




“Malah Andik Vermansah (penyerang Persebaya FC) pernah diminati Kelantan dan beberapa kali berusaha untuk mendapatkannya. Namun kami belum bersedia melepaskannya. Tidak mustahil untuk pemain Negeri Sembilan juga,” katanya pada sidang media sempena perlawanan persahabatan terbabit semalam.

Mengenai motivasi untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu, beliau melihat kepentingannya terarah kepada industri sukan iaitu bagaimana cara mereka menghiburkan penonton yang membeli tiket.


“Kami hadir di sini untuk mencatatkan kemenangan dan akan mempertaruhkan barisan terbaik,” katanya yang turut mempunyai tiga pemain import berbanding Negeri Sembilan yang hanya mempunyai dua iaitu Jean Emmanuel Effa Owona dan Marian Farbak .





Namun ia bukan alasan kepada skuad Rusa kendalian Azraai Khor Abdullah yang dijangka mendapat kembali khidmat lima tonggak utama yang kini bersama skuad negara yang dijadual menentang Sarawak, malam ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Broadway Media, Datuk Syed Ahmad Khalid yang juga pencetus Siri Nusantara berkata, pihaknya menjangkakan 45,000 penonton akan memenuhi stadium pada hari perlawanan dengan kira-kira 10,000 adalah penyokong kelab yang berpangkalan di Surabaya itu.


Katanya, antara perlawanan yang sudah diatur adalah Perak menentang Semen Padang serta Terengganu menentang PSM Makassar selain membabitkan Selangor bagi merebut Piala Selangor dan Kelantan.

Semua perlawanan Siri Nusantara yang berlangsung secara timbal balik itu boleh ditonton secara langsung di Astro Bintang Saluran 141.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...