Monday, March 26, 2012

‘Perlu idea konkrit’


Harian Metro 


JANGAN sekat ahli gabungan bersuara! Begitulah pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang berharap badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersikap lebih terbuka.


Bagi Zainol Fadzi, ahli gabungan perlu diberi peluang memberikan pandangan agar berlaku percambahan idea konkrit dan bersepadu demi kemajuan sukan bola sepak tanahair.


Tanpa berniat menyalahkan sesiapa, Presiden Pafa itu berkata langkah menghalang ahli gabungan dan pegawai persatuan daripada mengutarakan cadangan dan memberi pendapat tidak boleh membawa sebarang kebaikan.




“Sebagai ahli gabungan, persatuan negeri juga mempunyai peranan dalam memajukan sukan bola sepak. Justeru pegawai persatuan sepatutnya dibenarkan bersuara dan menyatakan pandangan.

“Bagi saya pandangan berbeza dan tidak selari bukan bererti penentangan sebaliknya adalah teguran untuk membina.


“Jika berlaku persengketaan maka ia boleh diselesaikan melalui perbincangan. Jangan cepat melatah ,”katanya. Beliau memberi reaksi sedemikian sebagai mengulas tindakan FAM mengheret Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa ke Jawatankuasa Disiplin kerana memberikan pendapat ke atas prestasi hambar skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K Rajagobal.





Kecelaruan berlaku apabila Annuar yang juga Timbalan Pengurusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan Senior dianggap sudah melanggar peraturan FAM. Tiga pertuduhan dikenakan beliau.

Sebaliknya Setiausha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang memberi reaksi kecewa atas kegagalan skuad Olimpik negara tidak dikenakan sebarang tindakan sehingga sekarang.




Kesalahan Azzuddin itu jelas bertentangan dengan peraturan badan induk itu kerana beliau hanya seorang pegawai pengurusan organisasi.

Lebih celaru apabila Pengerusi Jawatankusa Disiplin, Datuk Taufik Abdul Razak sendiri mengambil masa lama untuk menyiasat kenyataan media Azzuddin itu.


Inilah yang menimbulkan banyak persoalan dan keraguan.


Zainol Fadzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri berpendapat sebarang pandangan, teguran dan kritikan boleh dijadikan sebagai pandangan ‘kedua’ tanpa perlu dijadikan isu besar.


Dalam perkembangan lain, Perak yang sedang mencari pengganti Lazar Popovic menunjukkan minat terhadap pemenang kasut emas 2006, Keita Manjou yang menawarkan khidmatnya kepada Seladang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...