Friday, March 23, 2012

Sarawak tetap fokus: Alberts



TETAP CERIA: Roberts bergurau dengan kakitangan kejurulatihannya sebelum menjalani latihan di Stadium Negeri semalam.
 
Jurulatih yakin insiden pada Sabtu lepas tidak jejas persiapan, tumpuan pasukan

KUCHING: Biarpun perlawanan Sarawak dibayangi insiden yang tidak diingini pada malam Sabtu lalu, jurulatih Robert Alberts menegaskan anak-anak buahnya tetap fokus seperti biasa.

Bercakap kepada The Borneo Post ketika sesi latihan pasukannya di Stadium Negeri semalam, Alberts tidak mahu insiden yang berlaku itu menjejaskan persiapan pasukan untuk perlawanan seterusnya. Sarawak dijadualkan menentang skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan di Stadium Negeri pada Sabtu ini (24 Mac).


“Saya melihat kekalahan (kepada Lions XII) minggu lepas seperti pening lalat. Jadi apabila kita sudah pening-pening seperti ini, kita perlu pulih secepat mungkin,” ujar Alberts ketika berkias.

Alberts bagaimanapun mengingatkan anak-anak buahnya betapa pentingnya untuk mereka mengambil iktibar daripada kekalahan itu dan belajar untuk melupakannya juga. Malah jurulatih dari Belanda itu mahu pasukannya melihat perlawanan itu dari sudut positif iaitu pembakar semangat buat mereka untuk meningkatkan prestasi.

Mengulas tentang prestasi pasukannya minggu lepas, Alberts berkata pemain-pemainnya telah menunjukkan persembahan yang baik ketika menentang skuad muda kebangsaan Singapura. Malang sekali, di sebalik penguasaan bola, mereka gagal memenangi perlawanan tersebut.

“Saya bangga dengan pemain-pemain saya. Mereka telah menunjukkan mentaliti yang kuat untuk tidak mudah patah semangat dalam memburu kemenangan, lebih-lebih lagi selepas ketinggalan satu gol di belakang Lions XII,” tambah Alberts.

Menyentuh tentang perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan hujung minggu ini, Alberts merayu para penyokong untuk mengawal emosi dan tingkah laku mereka. Beliau amat berharap insiden kekecohan penyokong tidak akan berulang.

“Saya berharap penyokong dapat menjaga tingkh laku mereka kerana ia adalah penting untuk pasukan ini dan Sarawak juga. Saya ada melihat segelintir penyokong yang memancarkan laser ke arah pemain lawan (ketika menentang Lions XII Sabtu lepas) dan kita sememangnya menentang salah laku seperti itu,” tegas Alberts.

Alberts bagaimanapun berterima kasih kepada para penyokong yang terus berdiri teguh di belakang pasukan di kala mereka memerlukannya.

Di sebalik kekecohan yang berlaku itu, Alberts lega kerana tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
“Ketika saya menjadi jurulatih di Indonesia, insiden seperti itu memang banyak berlaku. Saya berharap ia adalah yang terakhir saya saksikan di sini kerana saya tidak fikir sesiapapun yang mahu melihat keganasan mahupun kekacauan,” ujarnya.

Kekecohan penyokong berlaku di Stadium Negeri Sabtu lepas selepas kekalahan kontroversi 0-1 Sarawak di tangan Singapura.

Ketidakpuasan hati penyokong dikatakan berakar umbi daripada sikap berat sebelah pengadil sepanjang perlawanan termasuk keputusan kontroversinya menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...