Wednesday, March 21, 2012

Skuad B-23 kekal di Singapura


 
SKUAD Harimau Muda yang kini berada di negara jiran selepas aksi Liga Singapura (Liga S) menentang Albirex Niigata Ahad lepas, hanya akan pulang ke ibu negara pada 26 Mac ini.
Pengendali skuad bawah 23 tahun negara itu, Ong Kim Swee memberitahu, tarikh itu merupakan sehari selepas aksi menentang Courts Young Lions di Stadium Yishun pada Ahad depan.

Selain itu, katanya, skuad muda negara juga akan menentang Brunei DPMM di Stadium Jalan Besar, Singapura malam esok selepas mengharungi tiga perlawanan Liga S setakat ini.
“Keputusan untuk kekal berada di Singapura bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia telah lama diputuskan sebelum ini, yang mana skuad negara akan menetap di sini dalam tempoh yang lebih lama jika terdapat jadual perlawanan yang padat seperti ini.
“Selain menjimatkan kos, ia juga bagi mengelakkan pemain daripada berdepan faktor keletihan kerana terpaksa berulang-alik dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Skuad Harimau Muda yang sekadar seri tanpa jaringan dengan Albirex, Isnin lepas kini mengumpul tujuh mata selepas membenam Gombak United dan Tanjung Pagar United masing-masing dengan keputusan 2-0 dan 3-0 sebelum ini.
Kegagalan skuad negara meraih kemenangan ketiga itu begitupun tidak membimbangkan Kim Swee yang nyata berpuas hati dengan kekebalan skuadnya kerana masih belum dibolosi setakat ini.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, bahawa beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menurunkan dua skuad berbeza ketika aksi menentang Brunei DPMM dan Courts Young Lions kelak bagi memberi pendedahan seimbang kepada semua pemain muda negara.
“Masa rehat yang ada ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Selain itu, tidak ada pasukan di dunia juga yang mampu mengekalkan kekebalan gawang mereka daripada dibolosi dalam mana-mana saingan liga, jadi saya rasa ini cabaran yang perlu diambil oleh anak- anak buah saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...