Tuesday, March 27, 2012

T-Team waspada ancaman Kedah


Harian Metro 


BERAKSI di laman sendiri bukan jaminan buat skuad berstatus kelab, T-Team untuk mematahkan sayap Kedah, sebaliknya skuad kendalian Yunus Alif itu tetap waspada ancaman bakal diberikan skuad Kenari itu bagi mengelak berputih mata dalam misi melayakkan diri ke separuh akhir dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.


Penyerang berbakat besar, Mohd Faiz Subri berkata, dia bagaikan tidak sabar beraksi selepas mengikat Kedah 0-0 pada perlawanan pertama namun tetap menghormati lawan dan akan berusaha lebih gigih untuk membawa pasukannya melangkah ke separuh akhir bertemu KL SPA ataupun Kelantan.


“Saya dan rakan sudah berazam tidak akan mensia-siakan peluang dan mempamerkan semangat juang tinggi biarpun saya bertemu dengan pasukan negeri kelahiran,” kata pemain berasal dari Ayer Hitam, Kedah itu.




Selain itu, Mohd Faiz yang sudah meledak lima gol setakat ini juga bertekad menjaringkan gol bagi memastikan peluang T-Team melangkah ke separuh akhir mampu direalisasi di depan penyokong sendiri.

“Kedah antara pasukan terhebat musim ini terutama dengan kehadiran dua bintang import mereka. Bagaimanapun saya dan rakan sepasukan sudah memasang strategi menyekat lawan selain tidak memberi ruang kepada lawan bergerak bebas dalam perlawanan penting ini.


“Tersilap langkah bakal membawa padah, namun dengan barisan yang bakal diturunkan jurulatih malam ini, saya yakin kami mampu menundukkan lawan apatah lagi bermain di laman sendiri,” kata pemain berusia 25 tahun itu yang bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.



Sementara itu, Yunus yang sedikit cemas selepas dua pemain utamanya cedera, penjaga gol Mohd Syamsuri Mustafa dan pertahanan Mohd Shahril Faizal, tetap melahirkan keyakinan anak buahnya mampu menang dalam perlawanan malam ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...