Wednesday, March 21, 2012

Taufik enggan komen


Harian Metro 


“MAAF saya masih belum melihat kenyataan yang dibuat oleh beliau, saya perlu menyelidik terlebih dulu mengenai perkara ini.”


Itu reaksi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak berhubung desakan untuk mengemukakan kertas siasatan ke atas Setiausaha Agung badan induk bola sepak negara, Datuk Azzuddin Ahmad selepas kenyataannya kepada media baru-baru ini berhubung kegagalan skuad Olimpik negara.


Azzuddin dilaporkan kecewa dengan kegagalan skuad Olimpik negara.


“Saya tidak tahu sejauh mana komen, kenyataan atau sebagainya yang diberikan olehnya dan tidak boleh memberikan komen lanjut,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Tambah Taufik, situasi berbeza dalam kes yang membabitkan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa kerana beliau menyaksikan sendiri kenyataan itu di televisyen.


“Saya menontonnya di televisyen (kes Annuar) namun bagi kenyataan yang dikeluarkan Azzuddin, hingga kini saya belum melihatnya,” katanya.




Ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia, Tunku Ellie Badariah Tunku Ahmad yang kecewa kerana terus dipinggirkan oleh badan induk bola sepak negara itu, Taufik turut mendakwa tidak mengetahuinya.

“Mungkin berita mengenainya kurang mendapat perhatian dalam media, namun saya juga akan menelitinya,” katanya.




Polemik mengenai kenyataan media tercetus selepas Annuar yang juga Timbalan Pengerusi Pengurusan Pasukan Kebangsaan diberikan surat tunjuk sebab dengan tiga pertuduhan selepas mengeluarkan pandangan mengenai prestasi skuad negara.

Salah satu tuduhan terbabit melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...