Sunday, April 15, 2012

Akui Kesilapan Sendiri


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akur dengan keputusan badan induk bola sepak kebangsaan yang bertindak memotong 14 dari 30 mata dikumpulkan Kelantan pada tujuh saingan Liga Piala Presiden, sebelum ini.
Bagaimanapun, Naib Presidennya, Rosmadi Ismail berkata, tindakan tegas itu begitu mengecewakan apabila kesilapan berkenaan hanya disedari selepas skuad Piala Presiden melalui tujuh perlawanan dan bukannya pada awal-awal saingan bermula.


“Pun begitu, Kafa tidak menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kesilapan diakui berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan bola sepak negeri ini sendiri.
“Kedua-dua pihak, FAM dan Kafa serta Jawatankuasa Pertandingan juga, masing-masing terlepas pandang sehingga menyebabkan Kelantan terpaksa menerima nasib malang ini,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan negeri ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Ditanya mengenai buku peraturan pertandingan yang dikatakan tidak dibekalkan kepada pihak pengurusan Piala Presiden, Rosmadi memberitahu, buku itu sepatutnya ada di dalam simpanan Kafa, bagaimanapun, katanya, perkara itu akan disiasat pihak berkenaan.
Menurutnya, satu mesyuarat tergempar juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan yang sepatutnya diambil pihak pengurusan bola sepak negeri bagi menghadapi tekanan ini.
“Kami akan mengadakan perbincangan pada peringkat pengurusan, sama ada ingin mengemukakan rayuan kepada FAM atau sebaliknya atau apa-apa tindakan lain yang sepatutnya diambil bagi mengurangkan beban pemotongan mata tersebut,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan keputusan pemotongan 14 mata selepas skuad jolokan The President Warriors itu didapati menurunkan pemain yang tidak sah pada tujuh perlawanan sebelum ini.
Tindakan menurunkan penjaga gol muda, Muhammad Syazwan Yusoff yang didaftarkan untuk skuad Liga Super Kelantan itu menyebabkan skuad Piala Presiden kini terpelosot ke kedudukan pertengahan liga.
Malah, peluang untuk juara bertahan itu mara ke suku akhir tampak sukar apabila perlu memenangi kesemua baki perlawanan, selain mengharapkan beberapa pasukan di tangga teratas tewas pada perlawanan akan datang.
sumber: Kelate.Net

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...