Saturday, April 28, 2012

FAS didenda RM46,000



PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) didenda RM46,000 dan dilarang bermain di Stadium Negeri, Kuching dengan kehadiran penonton selama empat perlawanan yang berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah dalam empat pertuduhan bagi perlawanan Liga Super 2012 menentang Kelantan pada 7 April lalu.

Hukuman Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu meliputi kesalahan seperti gagal menyediakan kawalan keselamatan yang berkesan, penyokongnya menyerang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), membaling mercun dan botol minuman terhadap penyokong Kelantan serta penolong pengadil, Azman Ismail dan ketika sepakan sudut pasukan pelawat di belakang gol tuan rumah.



Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Taufik Razak berkata, kesemua hukuman itu tidak boleh dikemukakan rayuan.

Malah, katanya RM1,000 daripada denda tersebut dikenakan kerana FAS didapati menghina FAM apabila lewat menghantar kertas pembelaan dalam menjawab keempat-empat pertuduhan iaitu melebihi pukul 12.00 tengah hari 23 April lalu.

"Kelab Johor FC pula didenda RM20,000 dan diberikan amaran keras setelah didapati bersalah dalam kes penyokongnya membaling botol berisi air mengenai kepala seorang pemain Lions XII dalam perlawanan Liga Super pada 7 April di Stadium Pasir Gudang.

"Insiden itu menyebabkan perlawanan terpaksa diberhentikan selama tiga minit oleh pengadil," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Taufik, FAM tidak akan bertolak ansur dari segi keselamatan penonton walaupun menyedari kutipan pintu masuk di Stadium Negeri, Kuching mendatangkan pulangan yang amat lumayan kepada tuan rumah kerana tidak mahu berlakunya kejadian yang tidak diingini terutama jika melibatkan nyawa.

Tegasnya: "Selepas ini, semua pasukan Liga M dalam mesyuarat pengurus pasukan yang biasanya diadakan sebelah pagi atau beberapa jam sebelum perlawanan.

"Turut diingatkan supaya sentiasa memastikan kehadiran wakil pasukan keselamatan iaitu polis kerana jawatankuasa mendapati hal ini sering tidak diberi perhatian."

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...