Thursday, April 19, 2012


GHADDAR (kiri) dicabar pemain pertahanan T-Team, Bojan Petric pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

KELANTAN menyingkap tirai pusingan kedua Liga Super dengan penuh bergaya apabila membenam T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Kemenangan di gelanggang lawan itu membolehkan Kelantan yang masih kekal berada di tangga kedua liga terus memberi tekanan kepada pendahulu, Lions XII.


Kelantan yang telah beraksi 14 perlawanan mengumpul 31 mata, manakala Lions XII merekodkan 36 mata daripada 17 perlawanan.
"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi para pemain malam tadi (kelmarin).
"Ia kemenangan yang menggembirakan tetapi saya yakin pemain saya mampu memberi lebih daripada apa yang dipamerkan," jelas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak semalam.
Kelantan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-52 apabila Khairul Izwan Khalid menanduk masuk bola hantaran Rosdi Talib.
Bagaimanapun, ledakan S. Chanturu dari luar kotak penalti pada minit ke-67 dan sepakan penalti Muhammad Ghaddar empat minit sebelum perlawanan tamat sudah cukup memastikan Kelantan pulang dengan noktah kenangan.
"Pada separuh masa kedua, T-Team mula bermain secara agresif dengan tempo yang lebih pantas sehingga mereka berjaya menghasilkan gol pembukaan.
"Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma dan barisan pertahanan kita agak leka dan gagal mengawal pergerakan pemain lawan sehingga mereka berjaya mencuri peluang tersebut," kata Bojan.
Mengulas mengenai kemunculan semula Ghaddar yang kembali mengetuai jentera serangan Kelantan, Bojan berkata: "Ini merupakan aksi pertama dia selepas direhatkan lebih dua bulan.
"Biarpun ia gol menerusi sepakan penalti tetapi sekurang-kurangnya ia memberi semangat serta lebih keyakinan untuk terus meledak gol pada perlawanan akan datang," jelasnya.
Bojan turut mengesahkan bahawa penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat akan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas hampir dua bulan diketepikan ekoran kecederaan bahu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...