Wednesday, April 18, 2012

Jang tolak tuah


Harian Metro

NEGERI Sembilan gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang termasuk sepakan penalti pada babak akhir perlawanan sehingga terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 ketika menentang Terengganu, malam tadi.


Pada pertemuan di Stadium Tunku Abdul Rahman di Paroi, tuan rumah terpaksa bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe menyempurnakan sepakan penalti seawal minit keempat.

Jaringan itu menyentap semangat anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah yang mula meningkatkan permainan dan melancarkan serangan ke kubu lawan.


Hasilnya deretan peluang terhidang dengan palang dan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee menjadi penyelamat yang menyaksikan gol penyamaan tuan rumah terhasil menerusi rembatan kencang Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-22.


Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus menguasai perlawanan, namun gagal menewaskan Mohd Sharbinee buat kali kedua selain pertahanan Terengganu yang kental bertahan menafikan asakan lawan.


Jentera serangan Terengganu yang diketuai Forkey Doe pula semakin tenggelam apabila gagal mengatur gerakan berbahaya sehingga meresahkan pengendalinya, Mat Zan Mat Aris yang kini mahu mencabar kejuaraan Liga Super.





Peluang terbuka dan terakhir untuk Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan lebur pada minit ke-84 selepas sepakan penalti Effa Owona melambung tinggi sekali gus keputusan berakhir dengan seri.

Keputusan itu menyebabkan Terengganu mengumpul 25 mata untuk berada di tempat ketiga di belakang LionsXII (36 mata) dan juara bertahan Kelantan yang meraih 31 mata manakala Negeri Sembilan di kedudukan ketujuh dengan 20.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...