Monday, April 30, 2012

Kedah pertaruh barisan terkuat



ALOR SETAR - Berdasarkan perkiraan atas kertas, Kedah memiliki kelebihan tetapi perlu mengharungi tempoh 90 minit yang sengit dan mendebarkan berdepan Kelantan dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, esok.

Skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu perlu memastikan gawangnya tidak dibolosi kerana Sang Kenari kini mempunyai modal satu jaringan ketika mengikat Kelantan 1-1 di Kota Bharu pada separuh akhir pertama lalu.



Seandainya gagal mempertahankan kelebihan jaringan di tempat lawan berkenaan, Hijau Kuning tiada pilihan lain kecuali mesti menang untuk merealisasikan impian melangkah ke aksi akhir kedua dalam tempoh tiga musim.

Sang Kenari juga perlu memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dalam usaha menyekat 'amukan' Si Kijang yang pastinya berhabisan cuba merobek kubu mereka.

Wan Jamak yang menyedari tugas getir anak buahnya itu bagaimanapun sedikit lega apabila boleh menurunkan mana-mana pemain yang diinginkan selepas skuad Kedah bebas daripada pergantungan perlawanan mahu pun kecederaan.

Cuma status kecederaan Safi Alfatah masih samar, namun perancang import itu dijangka cergas sepenuhnya menjelang perlawanan malam esok apabila dia kembali menyertai latihan intensif bersama rakan sepasukan yang lain semalam.

"Kelebihan mengikat Kelantan 1-1 pada separuh akhir pertama bukan tiket kepada pemain untuk bersenang lenang. Saya melihat peluang kedua-dua pasukan masih seimbang.

"Strategi sudah dilakar, kini terserah kepada pemain saya untuk mempraktikkannya di atas padang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Wan Jamak, anak buahnya juga diingatkan supaya berwaspada dengan kekuatan skuad Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Badhri Radzhi dan Indra Putra Mahyuddin selain penggempur dari Lubnan, Mohammad Ghaddar.

Katanya, Kelantan turut mendapat 'tonik' menjelang perlawanan separuh akhir kedua itu apabila mencatat kemenangan dalam saingan Piala AFC, Rabu lalu.

"Itu memberi petanda kepada pemain Kedah supaya berwaspada dan perlu meningkatkan lagi komitmen serta persembahan. Saya juga mengharapkan peminat Kedah hadir membanjiri stadium bagi memberi sokongan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...