Monday, April 23, 2012

Lawan Sri Lanka jawab ranking 156



PETALING JAYA - Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Radzak lebih gemar membiarkan aksi dan prestasinya dan rakan sepasukan di tengah padang terutama dalam menentang Sri Lanka, Sabtu ini, menjawab segala tanda tanya mengenai kemerosotan ranking dunia milik Harimau Malaya.

Katanya, kalangan peminat dan mereka yang sering mengikuti perkembangan bola sepak juga lebih arif bahawa ranking 156 sekarang tidak perlu dibimbangkan sangat apatah lagi setelah Malaysia kurang berpeluang bermain perlawanan persahabatan antarabangsa yang bermutu tinggi.


"Mungkin menentang Sri Lanka menjadi kesempatan terbaik untuk saya dan pasukan memulihkannya tetapi saya lebih risau bagaimana untuk mempamerkan aksi dan prestasi terbaik di padang daripada terlalu memikirkan ranking.

"Walau apa pun yang berlaku, saya masih tetap dengan matlamat peribadi saya, untuk terus mengekalkan Piala Suzuki AFF di Malaysia, November hingga Disember ini," katanya selepas menghadiri Klinik Futsal Herbalife di Kota Damansara, semalam.

Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menjadi antara 26 nama yang disenaraikan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal ke kem latihan pusat menjelang persahabatan antarabangsa dengan Sri Lanka yang di ranking dunia lebih rendah, 181 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Namun agak malang ialah apabila adik kembarnya yang juga penyerang ATM, Zaquan Adha Radzak tidak tersenarai kali ini gara-gara prestasi hambar yang sekadar menyumbat empat gol dalam Liga Malaysia musim ini dan lebih dibayangi kehadiran penyerang import, Marlon Alex James.

Kata bekas penyerang Negeri Sembilan itu: "Saya sedar sebab saya tidak dipanggil kali ini ialah prestasi dengan ATM, baru-baru ini.

"Dalam dua perlawanan sebelumnya pun saya baru pulih daripada demam jadi saya tidak terkejut dengan keputusan Datuk Rajagobal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...