Sunday, April 15, 2012

Nafas baru Annuar?


Harian Metro

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sedia menjadi orang tengah demi merungkai kemelut yang tercetus berikutan penggantungan Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Timbalan Presiden.


Tengku Abdullah menerusi kenyataan akhbarnya semalam mengaku kesal dan simpati terhadap nasib yang menimpa Annuar, yang turut direhatkan daripada jawatan Pengerusi Malaysia Super League (MSL), Pengerusi Bola Sepak Wanita, Timbalan Pengerusi Skuad Bola Sepak Kebangsaan dan Presiden Kafa.




“Dengan itu saya menawarkan diri saya sebagai pengantara untuk menamatkan kebuntuan ini dan membaiki apa-apa keretakan yang mungkin wujud disebabkan insiden malang ini,” katanya.




“Kita mesti akui dan menghargai sumbangan dan usaha yang diberikan oleh Tan Sri Annuar untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia khususnya bola sepak di Kelantan.

“Kita juga perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja-kerja baik yang dilakukan Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan akan mengalami kesan buruk daripadanya,” kata beliau yang berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik.


Begitupun beliau yang berada di luar negara ketika hukuman itu diputus 4 April lalu menjelaskan kenyataan yang dibuat beliau pada 4 Februari lalu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai satu arahan tapi hakikatnya hanya sebagai nasihat kepada semua pegawai di FAM supaya menghormati perlembagaan persatuan.




“Saya pasti Jawatankuasa Disiplin menjalankan siasatan lengkap terhadap tuduhan yang dikenakan dan mengenakan tindakan disiplin yang sesuai dengan cara yang telus mengikut undang-undang FAM,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kenyataan Annuar yang menurutnya mengikut perasaan mungkin disebabkan minat mendalam terhadap bola sepak dan mungkin sudah tiba masanya untuk menyemak kembali perkara yang tidak penting untuk masa depan bola sepak.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...