Saturday, April 14, 2012

Nizad ledak hatrik


Harian Metro

FELDA United berjaya keluar dari zon penyingkiran Liga Super selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Kuala Lumpur yang menyaksikan penyerang Mohd Nizad Ayub mencuri tumpuan apabila meledak hatrik.


Pada pertembungan antara dua pasukan tercorot liga di gelanggang dikongsi bersama, Stadium Hang Jebat, Kuala Lumpur yang beraksi sebagai tuan rumah lebih banyak bertahan di awal permainan.




Felda yang menduduki tangga ke-13 liga dengan mengumpul 11 mata selepas 12 perlawanan memperoleh gol pertama selepas Nizad melakukan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol, Rozamie Rohim pada minit ke-23.




Pada m-37, Nizad sekali lagi mencuri tumpuan apabila bijak menanduk bola hantaran Farid Ramli dari sebelah kiri untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Babak kedua bermula, Felda yang dikendalikan E Elavarasan langsung tidak menunjukkan tanda berpuas hati sebaliknya terus mengasak kubu Kuala Lumpur.


Nizad menambah derita anak buah Razip Ismail yang masih belum mencatat kemenangan setakat ini dengan menjaringkan gol ketiga menerusi tandukan hasil gerakan sepakan percuma m-74 sebelum Farderin Kadir melengkapkan kemenangan 4-0 hasil voli menarik.





Tiga mata yang diraih membolehkan Felda melonjak ke tangga ke-11 liga manakala Kuala Lumpur kekal terperosok di tangga ke-14 dengan satu mata.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Kedah tumpas 0-2 di tangan Sarawak dalam aksi di Stadium Darulaman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...