Saturday, April 21, 2012

Sarawak didenda RM35,500


Harian Metro

KEGAGALAN mengawal penyokong dan pemain pada perlawanan menentang LionsXII membawa padah buat Sarawak apabila didenda RM35,500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak menjelaskan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) didapati bersalah terhadap empat tuduhan membabitkan isu keselamatan.




“Kegagalan menyediakan anggota keselamatan mencukupi menyebabkan FAS didenda RM15,000 termasuk insiden membaling botol yang terkena dada pegawai pertandingan, Ismadi Ibrahim,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat terbabit.




Katanya, tuduhan lain adalah insiden penonton Sarawak membaling botol kepada pemain LionsXII (denda RM2,500), penonton berkumpul di luar stadium seolah-olah berdemonstrasi dan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘pengadil rasuah’ dan ‘bodoh’ (RM6,000) selain kesalahan penggunaan laser terhadap penjaga gol LionsXII (RM6,000).

“Semua hukuman dikenakan adalah minimum dan tidak boleh dirayu. Ini juga jumlah denda paling tinggi terhadap mana-mana persatuan bola sepak negeri pada musim ini selain peringatan terakhir kepada FAS agar perkara membabitkan keselamatan ini tidak berulang kerana denda boleh mencecah RM100,000,” katanya.


Selain itu, penolong jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah turut didapati bersalah kerana menolak pengadil dan digantung lapan perlawanan serta denda RM4,000.





“Kapten Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar pula didapati bersalah terhadap satu pertuduhan iaitu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil digantung tiga perlawanan dan denda RM2,000. Tuduhan kedua iaitu menendang pengadil perlawanan dari belakang digugurkan kerana tiada bukti kukuh,” katanya.

Perlawanan yang berlangsung pada 17 Mac itu mencetuskan ketegangan apabila LionsXII mencatatkan kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti kapten kelab Singapura itu, Shahril Ishak pada minit ke-72.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...