Friday, April 20, 2012

‘Sokongan padu’


LUNAS...Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Rozamri Mohd Ali (kiri) dan Ahmad Fadhli hadir di  Wisma FAM bagi membayar kos mesyuarat Tataterbib FAM, semalam.
LUNAS...Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Rozamri Mohd Ali (kiri) dan Ahmad Fadhli hadir di Wisma FAM bagi membayar kos mesyuarat Tataterbib FAM, semalam.


“KAMI tak berniat menyindir Persatuan Bola Sepak Malaysia, kami hanya mahu menunjukkan tanda sokongan kepada Tan Sri Annuar Musa,” kata Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wan Badri Wan Omar yang menyerahkan wang bayaran kos perbelanjaan perbicaraan Annuar sejumlah RM2,124 kepada FAM semalam.


Beliau ditemani beberapa ahli kelab penyokong Kelantan menyerahkan wang hasil kutipan kempen ‘10 sen untuk kos FAM RM2,124’ kepada pegawai di Jabatan Kewangan FAM kira-kira jam 12 tengah hari.


Annuar, Timbalan Presiden FAM yang digantung dua tahun enam bulan tidak hadir bersama namun menghantar surat memaklumkan wang bayaran itu diserahkan Wan Badri bagi pihaknya.




Wan Badri berkata, pihaknya tidak berniat memperlekehkan badan induk bola sepak itu apabila menyerahkan wang siling sebanyak RM261 dan bakinya berupa wang kertas sumbangan peminat bola sepak khususnya dari Kelantan.

“Kami tak sindir mana-mana pihak. Kempen ini hasil usaha kelab penyokong yang mahu memberikan tanda sokongan kepada Tan Sri Annuar ke atas apa yang beliau sumbangkan kepada bola sepak Kelantan.


“Hasil kempen ini, kami telah berjaya mengumpul RM2,300 tapi hasil lebihan dikumpul itu kami salurkan kepada tabung anak yatim,” katanya. kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.




FAM sebelum ini mengarahkan Annuar membayar kos Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang membicarakan kes ke atas beliau pada 4 April lalu.

Pada mesyuarat itu, Annuar disabit bersalah atas dua pertuduhan melanggar Artikel 88 kerana membuat kritikan terbuka prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.




Bagaimanapun timbul keraguan selepas Presiden, Sultan Ahmad Shah dalam laporan akhbar sebelum ini mempersoal bayaran dikenakan ke atas Annuar memandangkan mesyuarat itu diadakan di FAM.

Usaha mendapatkan penjelasan Azzuddin mengenai bayaran itu gagal sebaliknya pihak media semalam hanya diberikan salinan Kod Tatatertib Edisi 2011 FAM yang menjelaskan perkara 5.6.1 yang menyatakan kos dan perbelanjaan mesyuarat hendaklah ditanggung pihak yang didapati bersalah.


Annuar yang dihubungi berkata, beliau tidak pernah menafikan peraturan itu sebaliknya hanya mahu melihat kewajaran bayaran perlu ditanggung pihak yang dibicarakan.


“Saya tak nafikan peraturan itu cuma terpulang kepada kita untuk memilih bagaimana melaksanakannya kerana banyak klausa di bawah peraturan itu. Apa logiknya kita minta bayaran kepada pihak yang dibicarakan?”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...